Lipas dan tikus berkeliaran, dua premis makanan diarah tutup

0

MELAKA: Akibat membiar-kan lipas dan tikus berkelia-ran, dua premis makanan di Terminal Bas Melaka Sentral di sini diarah tutup serta-merta oleh Jabatan Kesihatan Melaka.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Mohd Khaidir Abd Hamid berkata tindakan itu ekoran pemilik premis berkenaan didapati gagal menitikberatkan soal kebersihan selain melanggar prosedur pengendalian makanan yang betul mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan ini diambil bukan untuk menyusahkan peniaga tetapi untuk menye-darkan mereka tentang ke-pentingan pengendalian makanan dan demi keselamatan dan kesihatan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi penguatkuasaan lebih sejam bermula jam 11 pagi semalam melibatkan enam restoran di terminal bas itu.

Beliau berkata pemilik restoran terbabit diarah membersihkan premis mereka dalam masa dua minggu dan mereka akan didakwa sekiranya ingkar.

Mohd Khaidir berkata pemilik bagaimanapun dibenar membuka semula perniagaan berdasarkan pemeriksaan dan penilaian semula yang dilakukan pihaknya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 39 daripada 328 premis makanan di sekitar negeri ini diarah tutup selepas operasi yang dijalankan bermula Januari lepas hingga semalam.

Sebanyak 21 kes melibatkan premis yang gagal mematuhi soal kebersihan telah didakwa di mahkamah dari Januari hingga Mei lepas melibatkan denda berjumlah RM30,900, katanya. — Bernama