PBTM bantu anggota berpangkat rendah dapatkan pekerjaan

0

KUALA LUMPUR: Persatu-an Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan mengenal pasti pendekatan terbaik untuk membantu bekas anggota tentera berpangkat rendah mendapatkan pekerjaan termasuk di sektor swasta.

Presidennya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata persatuan mendapati golongan itu, khususnya yang pernah berkhidmat dalam pasukan infantri, menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan perkhidmatan.

“Yang bermasalah untuk mencari kerja bukan bekas tentera yang berpangkat tinggi dan mempunyai kemahiran teknikal…cuma yang tergolong dalam bekas infantri (kumpulan askar berjalan kaki) ini saja ada kerumitan kerana mereka berpendidikan sederhana dan tidak mempunyai kemahiran tinggi,” katanya.

Mohd Anwar berkata pihaknya berharap perkara itu dapat ditangani melalui seminar Veteran Tentera yang dijadual Ahad ini (7 Julai) di ibu negara.

Beliau menekankan anggota PBTM termasuk bekas tentera infantri sentiasa  berdisiplin dan boleh menjadi sumber kekuatan kepada pihak swasta.

“Tetapi apa yang kurang ialah mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan, justeru kami berharap dapat menghasilkan resolusi untuk dipanjangkan kepada kerajaan dalam seminar itu,” kata Mohd Anwar.

Beliau menjelaskan pihak-nya juga telah memulakan banyak latihan peralihan di bidang automatif, pemakanan, pengurusan hotel, landskap dan pembinaan kepada anggota tentera yang akan tamat perkhidmatan.

Ia bertujuan mendedahkan mereka dengan kemahiran baharu selaras dengan pasaran kerja semasa.

Menurut Mohd Anwar, kini terdapat 156,000 anggota PBTM berdaftar termasuk 30 peratus bekas anggota infantri yang sukar mendapat pekerjaan. — Bernama