Persidangan kedua Alfred Wallace pada 7-8 Nov depan

0

KUCHING: Persidangan Antarabangsa Kedua mengenai Alfred Russel Wallace akan diadakan pada 7 dan 8 November tahun ini di sebuah hotel terkemuka di sini.

Persidangan anjuran bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Jabatan Muzium Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak antara lain bertujuan menghimpunkan pakar-pakar sejarah, saintis alam semula jadi, ekologi, botani, pengurusan taman dan profesion lain untuk berkongsi pengalaman mengenai ekologi, evolusi dan pengurusan sumber di rantau ini.

Beberapa penceramah terkemuka akan membentangkan kertas kerja mereka, antaranya Earl of Cranbook, Profesor Yong Hoi Sen, Profesor Charles H. Smith dan Paul Spencer Sochaczewski.

Selain bersidang para delegasi juga berpeluang mengadakan lawatan ke Gunung Serambu, lokasi koleksi Wallace ditemui di negeri ini.

Lawatan anjuran Jabatan Muzium Sarawak itu akan bermula dari Tebingan Kuching melayari Sungai Sarawak menuju ke Pekan Siniawan, Bau seterusnya menaiki bas ke perkampungan Bidayuh, Peninjau Lama di kaki Gunung Serambu.

Mereka yang berminat untuk menyertai persidangan ilmiah itu boleh menghubungi pegawai Jabatan Muzium Sarawak menerusi e-mel [email protected] (Louise Macul) atau [email protected] (Dr Charles Leh).