Site Last Updated 4:06 pm, Friday

Kes keracunan makanan babit pelajar meningkat

by Jessica Jawing. Posted on July 5, 2013, Friday

KUCHING: Laporan kes keracunan makanan di kalangan pelajar di negeri ini mencatat sedikit peningkatan tahun ini berbanding tahun lalu.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri David Lau berkata, pada enam bulan pertama tahun ini sebanyak 11 kes keracunan makanan dilaporkan.

“Jika dilihat pada tahun 2012, sebanyak 13 kes keracunan dilaporkan untuk sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun berkenaan.

“Bagaimanpun pada tahun ini iaitu dari Januari hingga Jun sahaja, sebanyak 11 kes dilaporkan dan ini menunjukkan sedikit peningkatan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Coral Speaking Peringkat Sekolah Menengah 2013 anjuran bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran Negeri di sini, semalam.

Beliau memberitahu, antara faktor peningkatan adalah disebabkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan penyumbang keracunan di kalangan masyarakat termasuk para pelajar.

Menurut Lau lagi, kes keracunan makanan bukan sahaja berlaku di sekolah tetapi di tempat atau premis lain dan ia dapat dielakkan sekiranya masyarakat mempunyai pengetahuan cukup mengenai prinsip dan keselamatan makanan.

“Jabatan Kesihatan dari tahun ke tahun berusaha meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini dengan menyebarkan maklumat tentang keselamatan makanan melalui ceramah, seminar selain pemantauan di premis termasuk kantin sekolah,” tegasnya.

Sehubungan itu Lau menjelaskan, melalui Pertandingan Coral Speaking yang bertemakan Keselamatan Makanan seperti itu, ia akan menambahkan lagi maklumat di kalangan pelajar dan guru untuk dikongsi dengan pelajar lain.

Beliau menasihati pelajar supaya lebih bijak memilih premis yang bersih dan bebas makhluk perosak seperti tikus yang boleh mengundang penyakit atau keracunan makanan.

“Selain itu pastikan pengendali makanan yang anda pergi juga berada dalam keadaan bersih dan kami di jabatan memandang serius premis yang tidak mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan,” kata Lau.

Pertandingan yang bertemakan Keselamatan Makanan itu dirasmikan Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Vendery Milah Nata yang menyaksikan lapan sekolah dari bahagian Kuching dan Padawan bersaing.

Sementara itu Vendery dalam ucapannya berkata, Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri komited untuk terus menjaga kesihatan para pelajar agar mereka mampu belajar dalam keadaan yang baik.

“Kedua-dua jabatan sentiasa mengadakan kerjasama erat dalam perkara ini dan antaranya Program Susu 1Malaysia dan program melibatkan keselamatan makanan dan sebagainya.

“Ini bagi memastikan kesihatan pelajar dan murid semasa alam persekolahan tidak akan terjejas,” katanya sambil memberitahu bahawa pihak sekolah juga selain itu mengadakan Program Kendiri dan Program Penggredan yang melibatkan pengendali makanan di kantin sekolah bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan ditetapkan.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road dinobatkan sebagai johan Pertandingan Coral Speaking yang membawa pulang wang tunai RM800 berserta trofi manakala naib johan disandang SMK Siburan dengan hadiah berupa wang tunai RM700 berserta trofi.

Di tempat ketiga dengan wang tunai RM600 berserta trofi dimenangi SMK Sungai Maong, tempat keempat SMK Bandar Kuching No.1 (RM500) dan tempat kelima SMK Kuching High (RM400).

Sementara itu sebagai penghargaan, sekolah-sekolah lain turut menerima sagu hati sebanyak RM200 selain sijil penyertaan kepada semua pelajar.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

91