K’jaan beri fokus menyeluruh dalam usaha majukan rakyat

0

SRI AMAN: Kerajaan akan terus memberi fokus menyeluruh dalam usaha memajukan rakyat negeri ini tanpa mengira di mana mereka berada, kata Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat.

Menurutnya, kerajaan akan terus berusaha dan tidak akan berhenti sehingga matlamatnya tercapai.

“Inilah KPI kerajaan dalam usaha meningkatkan pencapaian NKRA sebagaimana gagasan 1Malaysia terus terlaksana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai Ngiling Bidai 2013 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rumah Kedeni, Batu Besai Ulu dekat Sri Aman hujung minggu lalu.

Katanya, walaupun rakyat itu berada jauh dari arus pembangunan infrastruktur, kerajaan akan membantu sehingga mereka dapat menikmati arus pembangunan seperti yang dikecapi orang lain.

Katanya, kerajaan bukan berkata atau berjanji apabila tibanya pilihan raya, sebaliknya usaha untuk memberi pembangunan kepada rakyat sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa.

“Inilah janji kerajaan, setiap sokongan padu rakyat akan dibalas setimpal dengan kehendak dan kemahuan yang diinginkan oleh rakyat,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Muda Pemodenan Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Mong Dagang, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sri Aman Whelthon Lumpoi, Penghulu Briku Busang, Kaunselor Milu serta ketua-ketua masyarakat.