Friday, September 29

Letup sisa batu Jeram Pelagus dijangka siap hujung tahun ini

0

SIBU: Kerja-kerja akhir meletupkan sisa batu di Jeram Pelagus dijangka siap pada hujung tahun ini.

Pengerusi Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, kerja-kerja tambahan itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Kerja-kerja tambahan ini bukan diluluskan di bawah kontrak asal sebelum ini. Ia melibatkan sebahagian kawasan yang belum siap sebelum ini.

“Kami menjangkakan kerja-kerja akan siap pada hujung tahun ini, bergantung kepada keadaan cuaca dan limpahan air dari Bakun,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Sagah berkata demikian ketika ditanya mengenai notis berkaitan kerja-kerja meletupkan batu di Jeram Pelagus yang disiarkan dalam akhbar, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tarat itu juga memberitahu, ini mungkin kerja-kerja terakhir meletupkan batu di Jeram Pelagus, melainkan ada permintaan pada masa akan datang.

“Namun semua ini bergantung kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan,” katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung penjualan tiket bot ekspres di bangunan LSS Marudi, Sagah berkata langkah tersebut bertujuan mengelak penumpang berlebihan dan mengawal kenaikan harga tiket.

Beliau menjelaskan, pihak yang menjual tiket di bangunan LSS Marudi itu adalah pengusaha bot ekspres sendiri.

“Ini bukan suatu yang baharu tetapi telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas dan dilakukan secara berperingkat-peringkat di terminal dan jeti seluruh negeri,” tambahnya.