MAHB sedia terokai penanaman sawit di S’wak

0

KUCHING: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Sarawak untuk meneroka bidang penanaman kelapa sawit di Sarawak.

Hasrat itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Datuk Abdul Hamid Mohd Ali sambil menjelaskan ia sekarang adalah bergantung kepada kehendak Yayasan Sarawak.

“Kalau Yayasan Sarawak berkehendakkan kami terlibat, saya boleh maklumkan kepada MAHB Pertanian – Hortikultur Sdn Bhd.

“Kami melihat potensi di Sarawak kerana mempunyai tanah yang luas… untuk itu, kalau ada peluang, kami boleh bekerjasama dan menjalin kerjasama dalam bidang pertanian khususnya kelapa sawit,” katanya.

Abdul Hamid menyatakan demikian pada sidang media selepas upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat MAHB, Urusan Teknologi Wawasan (UTW) Sdn Bhd dan syarikat pemilikan penuh Yayasan Sarawak, Sanjung Etika Sdn Bhd bagi usaha mengukuhkan kerjasama dalam bidang pengurusan bangunan, kemudahan dan infrastruktur.

Menurut Abdul Hamid yang juga pengerusi UTW, MAHB menerusi MAHB Pertanian – Hortikultur Sdn Bhd telah mencapai kejayaan dalam membangunkan penanaman kelapa sawit berkeluasan 14,000 ekar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 1998 selepas KLIA dibuka untuk operasi.

Katanya ia juga telah menyumbang kira-kira lima peratus kepada keseluruhan hasil MAHB.

“KLIA mempunyai keluasan 24,000 ekar dan tidak keseluruhan kawasan tersebut dibangunkan sebagai lapangan terbang.

“Jadi, sementara menunggu pembangunan kekal, kami telah mengusahakan kawasan yang tidak digunakan itu untuk penanaman kelapa sawit.

“Ia kini telah menyumbangkan hasil kepada syarikat antara RM50 hingga RM60 juta setahun,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak merangkap Pengerusi Sanjung Etika Sdn Bhd Abdul Rashid Mohd Azis.