Manfaat peluang dan kemudahan pembukaan kaunter aduan: Wahab

0

SARATOK: Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz menyeru masyarakat agar memanfaatkan peluang dan kemudahan pembukaan kaunter aduan atau perkhidmatan secara terus yang disampaikan oleh jabatan kerajaan kepada rakyat dengan sebaiknya.

Wahab berkata, peluang seupama ini harus digunakan dengan sebijaknya, terutama untuk menambah pengetahuan khususnya dalam perkara atau isu yang kerap membelenggu masyarakat.

“Jangan memandang remeh aktiviti seperti ini dan menganggapnya satu aktiviti yang hanya melibatkan satu pihak sahaja.

“Gunakan peluang seperti ini untuk berinteraksi dengan semua agensi dan jabatan kerajaan yang mengambil bahagian, terutama untuk mengutarakan masalah atau persoalan yang tidak pasti yang kerap membelenggu masyarakat,” katanya.

Wahab berkata demikian pada program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) anjuran Jabatan Perdana Menteri di Dewan Sri Krian Saratok, semalam.

Antara objektif utama penganjuran program ini ialah untuk mengeratkan perpaduan di antara masyarakat dengan jabatan kerajaan, serta menyampaikan objektif serta peranan jabatan-jabatan berkenaan terus kepada masyarakat.

Dalam ucapannya juga, Wahab memuji pihak Jabatan Tanah dan Survei Betong yang mengambil inisiatif untuk turut serta membuka kaunter khidmat pelanggan bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk Saratok dan sekitarnya.

“Seperti yang kita sedar pada hari ini, isu tanah kerap menjadi perdebatan semua pihak dan keadaan ini sudah pasti menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada masyarakat.

“Melalui pembukaan kaunter seperti ini, masyarakat boleh mengajukan soalan yang berkaitan dengan perihal tanah secara terus kepada pihak jabatan yang berkaitan untuk mendapatkan jawapan yang sebenarnya dan bukannya menyampaikan soalan itu kepada pihak yang tiada kaitan dengan bidang kuasa tanah.

“Dapatkan penerangan dan kepastian yang memberikan kita jawapan yang difahami tentang soalan yang diajukan dan sekiranya kita masih lagi tidak pasti, kita boleh meminta kakitangan yang bertugas menerangkannya dengan lebih terperinci lagi,” jelas Wahab.