CAKE mahu kerajaan tetapkan harga ayam

0

KETETAPAN HARGA: Yusof (kiri) melihat jumlah timbangan ayam serta harganya oleh sorang peniaga ayam, Mohd Amir Aziz, 24, ketika melakukan pemantauan harga ayam di Pasar Besar Alor Setar di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga ayam belum diproses, daripada penternak kepada pembekal, agar tidak timbul isu kenaikan harga ayam secara mendadak.

Presidennya Datuk Yusof Ismail berkata ketiadaan penyelarasan harga ayam belum diproses sejak dahulu menyebabkan penternak meletakkan harga ayam sewenang-wenangnya sekali gus membebankan orang ramai.

Beliau berkata harga yang tidak terkawal oleh penternak menyebabkan harga ayam di pasaran makin meningkat dari semasa ke semasa sehingga mencecah RM9 sekilogram.

Katanya kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu berunding dengan penternak terlebih dahulu sekali gus dapat menetapkan harga ayam pada kadar lebih murah.

“Kerajaan perlu kaji semua kos yang dikeluarkan oleh penternak bagi membolehkan ketetapan harga siling dibuat. Ini kerana penternak sering beri pelbagai alasan seperti kos makanan ayam serta kos anak ayam yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga ayam di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.

Yusof berkata hasil pemantauan di beberapa pasar di sekitar bandar raya Alor Setar mendapati harga ayam semakin meningkat malah tidak sama iaitu antara RM7.80 hingga RM9 sekilogram.

Yusof berkata selain harga ayam kerajaan juga perlu menetapkan harga ikan kembung yang tidak menentu kerana ia menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah.

“Kadang-kadang harga ikan kembung juga tak menentu. Selalunya sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram tetapi boleh meningkat sampai RM12 sekilogram. Ia agak membebankan rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Seorang peniaga Wan Ahmad Fauzi Wan Ramli, 42, berkata harga ayam meningkat sejak dua minggu lepas iaitu dari RM6.50 kepada RM7.80 hingga RM8 sekilogram dan dijangka meningkat lagi menjelang bulan Ramadan.

Beliau berkata selain ayam, harga daging lembu import turut meningkat dari RM13.50 sekilogram kepada RM15.00.

Sementara itu seorang pelanggan, Hasimah Hassan, 60, berkata dia bersetuju sekiranya kerajaan menetapkan harga ayam agar tidak membebankan orang ramai.

“Ni dah dekat nak bulan puasa dan nak sambut perayaan. Kalau tak kawal teruklah kami sebagai pengguna. Harap kerajaan percepat kawal harga ayam dan beberapa barangan lain,” katanya. — Bernama