Ibu bapa dan pengasuh perlu ada ilmu menjaga bayi elak risiko tersedak susu

0

KUANTAN: Ibu bapa dan para pengasuh bayi disaran mempersiapkan diri dengan ilmu penjagaan bayi yang betul bagi menangani risiko kematian bayi akibat tersedak susu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam Malaysia) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata insiden tersedak susu di kalangan bayi adalah antara punca kematian di kalangan bayi pada abad ini.

“Jika golongan ini tidak mempersiapkan diri dengan ilmu penjagaan bayi yang betul dikhuatiri risiko kematian bayi akibat tersedak susu sama ada di rumah atau di pusat jagaan kanak-kanak akan terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam merasmikan Persidangan Saintifik Perubatan Keluarga ke-17 di sini semalam. Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Dr Norhizan Ismail.

Dr Lokman berkata Kementerian Kesihatan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memberi tunjuk ajar kepada para pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak cara penjagaan bayi dengan betul.

Dalam pada itu katanya Kementerian Kesihatan menyasarkan negara ini bebas daripada penularan penyakit malaria menjelang tahun 2020.

“Penularan yang dimaksudkan ialah daripada jangkitan tempatan, kami mahu pastikan ia dibasmi sepenuhnya pada 2015 di bahagian semenanjung manakala Sabah dan Sarawak tahun 2020,” katanya.

Beliau juga berkata pihaknya akan memberi tumpuan dalam usaha membasmi penyakit berjangkit seperti tuberculosis (TB) dan kencing tikus (leptospirosis) yang dikhuatiri akan terus meningkat jika dibiarkan.

“Mengikut kajian, penyakit ini akan meningkat dalam masa dua hingga tahun akan datang jika tidak ada usaha pembasmian dijalankan.

“Sehubungan itu di pihak kementerian, kami akan menjalankan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama jabatan kesihatan setiap negeri bagi mengesan penyakit ini agar jangkitan di kalangan rakyat negara ini dapat dibasmikan,” katanya. — Bernama