IPD Daerah Limbang baharu satu lagi bukti projek kerajaan

0

LIMBANG: Pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Limbang baharu yang berni­lai RM56.2 juta merupakan satu lagi projek kerajaan di Limbang yang mampu mem­beri kemudahan dan wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Polis Ne­gara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, IPD berkenaan dilengkapi dengan peralatan logistik moden sebagai kemu­dahan untuk semua peringkat pegawai dan anggota yang mampu memberi keselesaan dan persekitaran kondusif kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya lagi, selain IPD Limbang, kerajaan meluluskan projek-projek pembangunan PDRM di Kontinjen Sarawak bagi menggantikan IPD serta balai-balai lama dan membina bangunan baharu di bawah Rancangan Malaysia Kesem­bilan (RMK9).

“Ini jelas menunjukkan ba­hawa kerajaan amat mengam­bil berat dan sentiasa mempe­runtukkan jumlah besar dalam pembangunan projek-projek PDRM,” katanya pada peras­mian Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Limbang yang baharu di sini semalam.

Hadir merasmikan IPD tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahud­din serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Mohd Bakri berkata lagi, seluruh warga PDRM akan terus bekerja keras dalam mengekalkan keamanan, ke­makmuran dan kesejahteraan negara ini.

Menyentuh mengenai IPD Daerah Limbang yang baharu, katanya, kerja-kerja pem­binaan bermula pada April 2009 dan diduduki secara ber­peringkat mulai Julai 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 14 Mac 2012. IPD terbabit, katanya, akan memberi kes­elesaan kepada 234 anggota termasuk pegawai awam.

Tapak IPD Limbang yang baharu berkeluasan 2.96 hektar merangkumi kemu­dahan pejabat pentadbiran, stor barang kes, stor senjata, pejabat, bengkel pengang­kutan, kantin, serta parkir berbumbung kenderaan.

Pentadbiran IPD Limbang merangkumi tiga buah balai dan sebuah pondok iaitu Balai Polis Pusat, Balai Polis Medamit, Bambangan dan Pondok Polis Pendam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Bakri optimistik pe­nubuhan jabatan baharu Jaba­tan Pencegahan dan Pemban­terasan Jenayah (JPPJ) akan meningkatkan keberkesanan aspek pencegahan jenayah termasuk di Sarawak.

Melalui JPPJ, katanya, pe­nugasan dan tanggungjawab akan dilaksanakan lebih baik dari sudut pencegahan dengan memberi ruang kepada orang ramai memberikan input dan maklumat kepada polis.

JPPJ yang diluluskan kera­jaan pada 16 Jun lalu bertujuan untuk mengurangkan jenayah melalui sistem pencegahan dan pembanterasan secara berse­padu di semua peringkat.

Sementara itu, Pesuruh­jaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani menjelaskan pos kawalan sem­padan di negeri ini masih tidak mencukupi untuk memastikan kawasan sempadan dapat di­jaga sepenuhnya.

Katanya, hampir 70 peratus kawasan di sempadan Sarawak berhampiran sempadan In­donesia agak terdedah dan memerlukan kemudahan pos kawalan untuk memastikan aspek keselamatan sentiasa terjamin.

Beliau berkata, pihaknya se­dang dalam proses mengemas kini data keselamatan di sepa­njang sempadan Kalimantan Barat dan Timur, susulan Me­syuarat Jawatankuasa Kesela­matan Negeri yang diadakan sebelum ini.