Lagi kes bunuh gempar Sibu

0

MENYAYAT HATI: Anggota polis mengusung mayat salah seorang mangsa pembunuhan yang menggemparkan Sibu semalam.

Lelaki ditangkap di Bintulu selepas dipercayai bunuh isteri, dua anak dengan gas beracun

SIBU: Penduduk Sibu sekali lagi digemparkan dengan kes bunuh apabila seorang lelaki dipercayai bertindak membunuh isteri dan dua anaknya disyaki menggu­nakan gas beracun di kedia­man mereka di Lorong 1B, Pulau Li Hua, semalam.

Suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya ditangkap polis di Bintulu, malam tadi.

Anak lelaki sulung suspek, Tiang Soon Thai, 17, yang terselamat dalam kejadian itu dipercayai ada terhidu bau gas beracun ketika terjaga pada kira-kira jam 6 pagi.

Difahamkan, gas beracun disalurkan ke dalam bilik menggunakan dua paip yang disambungkan kepada sil­inder gas yang diletakkan di luar rumah.

Soon Thai terjaga buat kali kedua pada jam 10 pagi ketika ayahnya yang berusia 43 tahun mengacu batang buluh ke arah lehernya di­percayai dengan niat untuk membunuhnya.

Mangsa turut dipukul oleh ayahnya menyebabkan dia mengalami kecederaan di tengkuk dan telinga kanan­nya.

Ibu dan adik lelaki mangsa yang berusia dua tahun di­jumpai terbaring tidak bern­yawa di tepi tilam sementara adik perempuannya, 14, terbaring di atas tilam.

Soon Thai berjaya menye­lamatkan diri setelah bertin­dak melompat dari tingkat atas rumah menerusi balkoni sambil dikejar oleh ayah­nya.

Mangsa berjaya disela­matkan oleh jiran yang tinggal bertentangan rumah mereka yang kemudiannya mengunci pintu pagar setelah dimak­lumkan mengenai kejadian pembunuhan itu.

Jiran mangsa turut men­ghubungi pihak polis untuk menahan suspek.

Selepas 10 minit berdiri di hadapan pintu pagar rumah mereka, suspek bertindak melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail yang mengesahkan kejadian itu mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Suspek yang merupakan kontraktor membersihkan ladang kelapa sawit telah membawa ahli keluarganya keluar makan malam pada malam sebelum kejadian.

Sekembalinya ke rumah, suspek dipercayai memaksa ahli keluarganya ke dalam sebuah bilik sebelum memberi pil yang dipercayai pil tidur bagi membuatkan mereka tertidur.

“Pihak polis masih menyia­sat sama ada suspek cuba memberi pil sebelum melaku­kan pembunuhan. Polis juga menyiasat sama ada suspek membunuh ahli keluarga di bilik dipenuhi gas beracun,” ujar Shafie.

Polis telah mengenal pasti mangsa sebagai Ling Yung Ming, 40, anak perempuan­nya Christine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelakinya Victor Tiang Soon Heng, 2.

Ling Yung Ming merupa­kan kakak kepada Ling Ting Hock yang dibunuh bersama tiga lagi ahli keluarganya oleh seorang remaja berusia 17 tahun di kediaman mereka di Jalan RTM pada 3 Januari 2012.