Pegawai kanan Petronas didakwa terima rasuah

0

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus di Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima rasuah bernilai RM403,000 dan empat pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM385,000 melalui beberapa keping cek serta deposit tunai.

Idris M. Shuhud, 47, yang bertugas di projek penggantian saluran paip syarikat itu, didakwa menerima rasuah daripada pengarah syarikat Penaga Orbit dan Genius Response Kamaruddin Mohd Daud untuk pembayaran terhadap pembelian dan pengubahsuaian rumahnya di Bandar Tun Hussein, Cheras sebagai upah kerana meluluskan dokumen urusan rasmi Petronas.

Dokumen berkenaan ialah Penilaian Bidaan Teknikal, Penilaian Bidaan Komersial dan Sijil Penyiapan Kerja.

Tertuduh, yang ketika itu bertugas sebagai pengurus kanan Hook-Up Commisionin (HUC) Bahagian Pembangunan di Petronas, didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 5 Mac 2009 dan 20 Jan 2012.

Bagi kesalahan itu, Idris didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dia didakwa melakukan satu kesalahan Maybank cawangan KLCC dan tiga kesalahan di Bank Islam Malaysia Berhad, Seksyen 14 Shah Alam antara 5 Mac 2009 dan 20 Jan 2012.

Idris didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes rasuah dikendali Timbalan Pendakwa Raya Afifah Mamat@Yusof manakala kes pengubahan wang haram oleh Mohd Farez Rahman. — Bernama