12 anggota penguat kuasa laksana Ops Harga di Sarikei

0

SARIKEI: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Sarikei melantik 12 anggota penguat kuasa untuk melaksanakan Ops Harga yang dilancarkan serentak di seluruh negara semalam.

Ketua Cawangan PPDNKK Sarikei, Mohamad Zawawi berkata bagi melaksanakan Ops Harga, seramai 1,845 anggota penguat kuasa di seluruh negara telah digerakkan bagi mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua peringkat perniagaan dari pembekal, pengedar, pengimport, pemborong dan peruncit.

“Bagi Bahagian Sarikei, untuk melaksanakan Ops Harga ini, kita telah melantik seramai 12 anggota penguat kuasa melibatkan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berkaitan seperti Gerakan Pengguna Daerah (GPD), Rakan Pengguna serta Majlis Daerah Sarikei (MDS),” kata Mohamad kepada media sewaktu melancarkan Ops Harga Peringkat Bahagian Sarikei di Central Market di sini, semalam.

Menurut Mohamad, pada Ops Harga 2013, pemeriksaan akan meliputi kawasan bandar dan luar bandar, serta memberi tumpuan ke atas lokasi yang menjadi kunjungan ramai berbelanja seperti pasar basah, pasar tani, bazar Ramadan, kedai runcit, pasar raya, restoran, kedai makan serta medan selera.

“Pemantauan dan pungutan harga berkala ke atas barang basah, tersedia bungkus dan makanan sedia masak juga akan dilakukan.

“Untuk usaha tersebut, bagi seluruh negara seramai 1,071 pegawai pemantau harga dari kementerian telah dilantik, manakala untuk Bahagian Sarikei, seramai 13 pegawai telah dilantik.

“Pemantauan akan dapat mengesan kenaikan harga dan menjadi indikasi penting bagi tindakan siasatan susulan ke atas pengeluar, pengedar dan penjual,” jelas Mohamad.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru para peniaga agar meletakkan tanda harga yang jelas, tulisan mudah dibaca, menggunakan unit sukatan yang betul dan memaparkan harga yang tepat dan tidak mengelirukan ke atas semua barangan yang dijual di premis perniagaan mereka.

“Mana-mana peniaga yang tidak mematuhi peraturan tersebut, tindakan undang-undang akan kita ambil terhadap mereka,” kata Mohamad.

Dalam tinjauan kementerian bersama agensi penguat kuasa yang lain di lokasi yang sama semalam, kebanyakan peniaga didapati tidak meletak tanda harga pada barangan jualan mereka.

Malah, apabila ditanya oleh pihak penguat kuasa, terdapat segelintir peniaga yang memberikan pelbagai alasan seperti tidak tahu akan perkara tersebut, barangan baharu sampai dan tidak sempat berbuat demikian.

Orang ramai yang mempunyai aduan boleh menyampaikannya melalui talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) 03-8000 8000, melalui e-mel [email protected], talian bebas tol 1-800-886-800, atau SMS ke 15888 dengan menaip ‘KPDNKK ADUAN <butiran aduan>’ atau lapor ke PPDNKK yang berhampiran.

Turut hadir semasa operasi semalam ialah Timbalan Residen Bahagian (Sosial) Sarikei Alex Liau serta beberapa pegawai penguat kuasa dari MDS dan PPDNKK Cawangan Sarikei.