Golongan muda digalak sertai Pertubuhan Peladang

0

SUNGAI BULOH: Golongan muda digalakkan menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk memastikan sektor pertanian terus berperanan sebagai antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara.

Menggesa demikian, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, “Untuk memastikan industri asas tani ini berada dalam lonjakan transformasi ekonomi, galakan daripada tenaga muda perlu diperluaskan.

“Saya berharap golongan muda tidak memandang sinis bidang pertanian kerana ramai yang sudah berjaya dan membuktikan kemampuan hingga muncul sebagai usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-32 PPK Gombak dan Petaling di sini, semalam.

Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Zainal Dahalan berkata sehingga kini, hanya 15 peratus daripada 800,000 anggota peladang di seluruh negara merupakan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah. — Bernama