Karpal gesa pihak gondolkan Bukit Relau disenaraihitamkan

0

GEORGE TOWN: Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh mahu pengarah dan syarikat yang didakwa terlibat dalam kegiatan menggondolkan satu kawasan di Bukit Relau, Jalan Bukit Gambir di sini, disenaraihitamkan.

Karpal Singh, yang juga pengerusi DAP, berkata pemilik Lot 11396 di mana kegiatan itu dikatakan berlaku, perlu turut disenaraihitamkan.

Katanya, menurut laporan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang semalam, tanah berkenaan adalah milik General Accomplishment Sdn Bhd dan seorang daripada pengarahnya ialah jutawan Tan Sri Tan Kok Ping.

“Pertuduhan yang dikenakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sahaja tidak mencukupi, tanah dan pengarah syarikat itu juga perlu disenaraihitamkan kerana melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam laporan pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Chow Kon Yeow berkata Tan menjadi pengerusi syarikat yang didakwa menjalankan kerja tanah di kawasan itu dan MPPP akan mengenakan pertuduhan terhadap syarikat berkenaan pada 11 Julai.

Tan juga adalah Penasihat Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pulau Pinang dan bekas presiden dewan itu.

Sementara itu, Karpal juga menggesa agar satu lagi syarikat yang terlibat dalam kegiatan haram berkenaan turut dikenakan pertuduhan dan disenaraihitamkan.

“Tidak kira betapa kayanya seseorang itu, kerajaan negeri yang diterajui DAP tidak akan membiarkan mana-mana pihak membelakangkan undang-undang dan melepaskan diri tanpa dikenakan tindakan,” katanya.

Pada 15 Mei, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima R.S.N Rayer meminta Majlis Perbanaran Pulau Pinang (MPP), Jabatan Hutan negeri dan Pejabat Daerah Timur Laut menyiasat kegiatan menggondolkan satu kawasan di Bukit Relau.

Laporan pada awal Jun menyebut MPPP mendedahkan nama dua syarikat yang dikatakan menebang pokok di bukit itu. — Bernama