Kerajaan komited tangani kekurangan rumah kos rendah

0

PEMAJU CEMERLANG: Abang Johari merakam kenangan bersama para penerima anugerah kecemerlangan SHEDA. Turut kelihatan Wong (dua kiri), Timbalan Menteri Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah, pemenang anugerah SHEDA Property Man of the Year 2013 Datuk Sim Swee Yong (empat kanan) dan Presiden SHEDA Zaidi Ahmad (tiga kanan).

Pelbagai program dan skim perumahan rakyat dilaksanakan, bekerjasama dengan pemaju perumahan

KUCHING: Kerajaan negeri amat mengambil berat dalam menangani isu kekurangan rumah kos rendah melalui pelaksanaan pelbagai program dan skim perumahan rakyat.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan para pemaju perumahan bagi memenuhi keperluan tersebut dan ia terbukti melalui proses pembaharuan pajakan tanah yang berjalan lancar di negeri ini.

“Bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses permohonan serta kelulusan sesuatu projek, kerajaan negeri telah meningkatkan taraf perkhidmatan di jabatan-jabatan berkaitan dalam mengendalikan pembangunan perumahan,” ujar Abang Johari pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Sarawak (SHEDA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching kelmarin.

Majlis makan malam tersebut juga diadakan sempena menyambut ulang tahun SHEDA yang ke-20 di samping menyampaikan anugerah kepada para pemenang Anugerah Kecemerlangan SHEDA (Excellence Awards) 2013.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri berkata, sebagai sebuah bandar raya yang kian membangun para pemaju perumahan harus mengambil kira keperluan orang ramai terhadap sektor perumahan dari segi gaya hidup dan jangkaan para pembeli masa kini.

“Dalam jangka masa tiga tahun kerajaan akan membina sebanyak 2,847 buah rumah kos rendah dan mampu milik awam di seluruh negeri di 12 kawasan.

“Sebanyak RM512 juta akan diperuntukkan untuk tujuan tersebut di mana ia tidak termasuk janji kerajaan persekutuan untuk membina sebanyak satu juta unit rumah dalam jangka masa lima tahun termasuk yang akan dibina dengan kerjasama para pemaju swasta,” tambahnya.

Di samping itu, Abang Johari turut menasihati para pemaju supaya mengambil kira kepentingan orang ramai ketika merancang dan melaksanakan projek perumahan serta pembinaan bandar baharu.

“Para pemaju tidak seharusnya terlalu memikirkan untuk mendapat keuntungan yang cepat tetapi mesti bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka di samping mematuhi peraturan serta polisi yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi mencapai objektif bersama iaitu keselamatan, keselesaan, kesihatan serta kelestarian para pemilik rumah.

“Saya juga ingin menyeru kepada para pemaju supaya melakukan rekaan rumah yang inovatif, memperkenalkan cara serta bahan pembinaan yang baharu serta mengaplikasikannya bagi menjimatkan kos pembinaan di samping mengambil kira keperluan orang kurang upaya (OKU) serta mempromosikan projek perumahan yang mesra alam jika mempunyai peruntukan yang cukup,” jelasnya.

Pada masa yang sama beliau turut memberi respons terhadap ucapan awal Timbalan Presiden SHEDA Joseph Wong Kee Liong mengenai isu perjanjian tambahan untuk rumah kos rendah dan rumah kos rendah tambahan.

“Saya menggalakkan SHEDA untuk mengemukakan senarai para pemaju yang terjejas akibat isu tersebut bagi tindakan selanjutnya.

“Kerajaan negeri mempunyai sistem tanah tersendiri di mana pengiraannya dilakukan secara adil bagi membolehkan orang ramai memiliki rumah di kawasan bandar,” jelasnya.