Suspek larikan MPV polis diberkas

0

KUANTAN: Seorang lelaki yang ditahan kerana mencuri simen melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik polis sebelum diberkas selepas melarikan kenderaan itu sejauh 15km.

Sebelum kejadian, suspek terbabit bersama seorang lagi rakannya, masing-masing berumur 30-an, mencuri simen di kawasan tapak pembinaan perumahan di Indera Mahkota.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad, empat anggota polis iaitu dua menunggang motosikal dan dua lagi menaiki sebuah MPV, bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada penyelia tapak pembinaan itu.

“Anggota polis tiba di tempat kejadian kira-kira 12.15 tengah hari dan mendapati kedua-dua suspek sedang memunggah simen ke dalam sebuah lori.

“Kedua-dua suspek melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun seorang daripadanya diberkas,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Selepas memberkas suspek terbabit, seorang anggota polis memasukkan suspek ke dalam MPV itu dan sejurus pintu ditutup, suspek bertindak melarikan kenderaan itu.

Rakan suspek pula ditahan tiga anggota polis di kawasan sama.

“Suspek melarikan kenderaan MPV itu ke arah Taman Tas dengan memandu secara melawan arus. Polis kemudiannya menemui MPV itu ditinggalkan di tepi jalan di Taman Tas 15 minit kemudian, dengan satu daripada tayar belakangnya pecah,” katanya.

Aziz berkata hasil gerakan memburu, suspek ditahan berhampiran sebuah kedai besi buruk, di Jalan Galing Kem, dekat sini jam 6.30 petang kelmarin.

“Kedua-dua suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan penyalahgunaan dadah,” katanya. — Bernama