Usahawan diseru daftar harta intelek, elak cetak rompak

0

ALOR GAJAH: Usahawan di negara ini digesa mendaftarkan harta intelek mereka demi menjamin pendapatan sendiri selain membolehkan syarikat dan individu yang berminat membeli lesen penggunaannya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata harta intelek yang tidak didaftar bukan sahaja membuka ruang kepada lanun cetak rompak, tetapi juga mengehadkan pendapatan usahawan terbabit.

Menerusi pendaftaran harta intelek mereka, usahawan tidak hanya bertumpu kepada penjualan produk yang dihasilkan mereka tetapi juga mencari cara di luar kotak untuk menjana pendapatan termasuk menjual lesen penggunaan, katanya kepada Bernama, di sini semalam.

“Perkara ini (pendaftaran harta intelek) jika tidak diambil berat dikhuatiri akan menjejaskan jualan produk seseorang usahawan sekiranya ada individu lain yang turut mengeluarkan produk sama menggunakan jenama mereka,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan Lawatan Inovasi ke Bendang Studio Art and Craft yang menghasilkan pelbagai produk kraf tangan berasaskan seramik. Lawatan itu merupakan siri keempat dilakukan Abu Bakar di Melaka dalam usaha mendekati dan mengetengahkan usahawan tempatan.

“Ada orang banyak duit tetapi tidak idea dan ada orang pula ada idea tapi tidak ada duit. Pereka cipta yang tidak ada duit boleh cagarkan produk yang telah didaftarkan itu untuk dapatkan duit bagi memulakan perniagaan, manakala peniaga dapat menghasilkan produk inovasi tinggi.

“Saya amat berharap lebih ramai pereka cipta menyedari semua ini bagi membolehkan mereka melangkah ke hadapan dengan mengkomersilkan produk ciptaan mereka seterusnya membentuk rakyat berinovasi tinggi di negara ini,” katanya.

Katanya semua langkah itu mampu menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar produk berinovasi tinggi terutama bagi pasaran tempatan. — Bernama