One Sail Racing muncul juara BIYC

0

TAHNIAH: Kamarlin (empat kiri) dan Troy (tiga kiri) bersama pasukan One Sail Racing dari Australia yang memenangi BIYC tahun ini.

KOTA KINABALU: Pasukan kapal layar One Sail Racing dari Australia muncul juara baharu Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo (BIYC) yang diadakan selama enam hari melibatkan Miri, Labuan dan Kota Kinabalu yang berakhir kelmarin.

Bekas juara, pasukan kapal layar Utarid dianggotai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meraih tempat kedua.

Sementara kapal kedua TLDM, Uranus mendapat tempat ketiga.

Masing-masing merupakan pemenang keseluruhan kategori IRC.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi pada majlis makan malam di Sutera Habour Resort, di sini malam kelmarin.

Dalam pada itu, juara keseluruhan kategori Cruising A dimenangi oleh Bewitched dari Hong Kong, tempat kedua oleh Sophia dari New Zealand dan tempat ketiga ialah Seventh Heaven dari Australia.

Pasukan New Zealand mendominasi kategori Cruising B.

Ketiga-tiga kapal mereka iaitu Stella, Voahangy dan Magnetic muncul tempat pertama, kedua dan ketiga.

Kapal milik pasukan dari United Kingdom, Mind The Gap menjuarai kategori Multi- hull, kedua kapal Blue Moon dari Malaysia dan ketiga Plane Sailing dari Afrika Selatan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah untuk perlumbaan laluan Labuan- Kota Kinabalu yang bermula sejak Jumaat lalu di mana Utarid menjuarI kategori IRC.

Pemenang lain ialah Relapse dari New Zealand (Cruising A), Stella (Cruising B) dan Mind The Gap (Multihull).

One Sail sekali lagi muncul juara keseluruhan regatta Kota Kinabalu iaitu peringkat terakhir BIYC yang diadakan di Sutera Habour kelmarin.

“BIYC adalah regatta paling mesra untuk peminat-peminat sukan layar.

BIYC belum begitu dikenali di rantau Asia tetapi dengan sokongan yang berterusan kita yakin perlumbaan ini akan popular seperti regatta-regatta lain,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja BIYC Miri, Troy Yaw.

Beliau berterima kasih kepada Lembaga Pelancongan Sabah, pihak pengurusan Sutera Harbour dan Perbadanan Labuan atas kerjasama mereka menjayakan BIYC kali ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Joniston Bangkuai, Pengurus Besar Sri Pelancongan Sabah, Siti B Damsal dan wakil Kementerian Pelancongan Sarawak, Amizah Morshidi.