Site Last Updated 9:35 am, Wednesday

Prospek industri lada semakin baik dan stabil

by Agnes Tugong. Posted on July 9, 2013, Tuesday

KELUARAN SARAWAK: Uggah (dari kanan), Jabu, Nurmala, Ose dan Grusin meneliti produk-produk berasaskan lada keluaran Sarawak pada pameran sempena Majlis Bersama Rakan Strategik Industri Lada dan Pelancaran Hari Lada di Kuching semalam.

Produk lada Sarawak bakal tembusi pasaran Hab Halal Tanjung Manis susulan pengiktirafan status halal

KUCHING: Produk-produk berasaskan lada keluaran Sarawak bakal menembusi pasaran Hab Halal Tanjung Manis susulan pengiktirafan status halal.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata prospek industri tanaman dan pengeluaran lada dilihat semakin baik dan stabil susulan pengukuhan harga lada di pasaran antarabangsa.

Malah katanya, Sarawak juga merupakan pengeluar lada putih berkrim yang berkualiti tinggi dengan harga tinggi mencecah RM34 sekilogram.

“Dengan status halal dimiliki ia akan membolehkan lada keluaran Sarawak dibekalkan dalam hab halal untuk tujuan pemasaran yang lebih meluas.

“Malah untuk menghasilkan lada putih berkrim ia memerlukan tahap persekitaran dan sumber air yang berkualiti tinggi dan Sarawak merupakan pengeluar yang menepati tahap ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Bersama Rakan Strategik Industri Lada dan Pelancaran Hari Lada di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Turut serta pada sidang media itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato Sri Douglas Uggah Embas, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) Datuk Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha MPIC Datin Padukan Nurmala Abdul Rahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang dan Ketua Pengarah MPB Grusin Ayom.

Tambah Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, harga lada putih kini mencecah RM25 sekilogram manakala lada hitam ditawarkan antara RM13 hingga RM16 sekilogram.

Sebagai antara pengeluar lada terbesar negara, produk-produk lada Sarawak juga telah dieksport ke beberapa negara luar seperti Jepun, Korea Utara dan China.

“Industri lada merupakan tanaman komoditi dan penyumbang terbesar kepada ekonomi penduduk terutama di kalangan masyarakat luar bandar melibatkan 67,000 pekebun.

“Malah, daripada jumlah volum eksport yang dicatatkan dalam negara tahun lepas, 95 peratus daripadanya merupakan keluaran Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan menurut Jabu kini sedang mempergiatkan usaha meningkatkan pengeluaran lada melalui pemulihan tanaman lada yang kurang produktif dan peluasan tanaman baharu di kawasan berpotensi.

Bagi maksud itu katanya, kerajaan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk tujuan itu.

Katanya kebanyakan daripada penanaman lada diusahakan di kawasan luar bandar dan usaha pemulihan serta perluasan tanaman baharu berkemungkinan dijalankan di kawasan luar bandar.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.