Syarikat guna helah ‘gores dan menang’ diarah kembalikan wang tunai

0

KOTA KINABALU: Pihak penentang, Syarikat Anzatec Sdn Bhd yang gagal hadir diarahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini kelmarin supaya mengembalikan wang sejumlah RM2,800 kepada seorang wanita.

Penuntut, Dayang Nur Atiqah Rozlee berkata dirinya merasa tertipu apabila syarikat terbabit menawarkan cabutan bertuah iaitu gores dan menang namun ‘dipaksa’ membeli tiga set barangan elektrik yang kononnya berjaya dimenanginya.

“Pada Jun baru-baru ini, ketika saya melalui pusat membeli belah Giant, seorang lelaki membawa bakul kempen ‘Go Green’ dan menawarkan saya bakul terbabit dan kemudian membawa saya ke syarikat terbabit untuk memberikan sedikit komen.

“Setelah memberi sedikit komen bertulis, dia kemudiannya memberi cabutan bertuah dan menyuruh saya mencuba jika ada peluang untuk menang. Saya kemudiannya menggores kad terbabit dan mereka mengucapkan tahniah kerana menang.

“Pada mulanya saya was-was namun setelah ‘bos’ daripada ibu pejabat syarikat terbabit menghubungi dan mengatakan saya menang, saya pun yakin kerana diberitahu satu-satunya daripada Sabah yang bertuah untuk menang,” kata Dayang.

Katanya, oleh kerana kelam kabut menghadiri ke majlis makan malam dan perasaan takut terhadap empat  pekerja lelaki di syarikat terbabit dia pun memberikan data peribadi serta dua kad kreditnya digunakan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun kata Dayang, ketika pekerja terbabit meminta kali ketiga kad kreditnya yang lain dia kemudiannya menangis.

“Kemudian baru mereka berhenti meminta kad kredit malah menolong saya mengangkut barangan terbabit ke kereta.

“Saya memang tidak ada niat untuk membeli barangan terbabit, tetapi setelah memeriksa wang simpanan saya telah pun digunakan. Barangan eletrik itu juga kelihatan lama dan kotak-kotaknya juga sudah terbuka,” katanya.

Mendengar penjelasan terbabit, Presiden TTPM, Datuk Dr Lawrence Thien mengarahkan syarikat terbabit membayar kembali wang kepada penuntut dalam tempoh 14 hari dan menerima semula barangan terbabit.