Cegah iklan wang haram

0

Jabatan Peminjam Wang dan Pajak Gadai diminta ketatkan penguatkuasaan bendung aktiviti peminjaman wang haram

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri menuntut penguatkuasaan yang lebih ketat oleh Jabatan Peminjam Wang dan Pajak Gadai di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencegah iklan pinjaman wang haram daripada dipamerkan di negeri ini.

Naib Ketua Wanita PKR Pusat Voon Shiak Nii menyifatkan sebab utama yang menarik minat ramai orang untuk meminjam wang adalah kerana kemudahan dan kesenangan peminjam wang haram untuk mendekati masyarakat.

“Sebagai rakyat biasa, kami juga sangat bimbang dan resah mengenai aktiviti peminjaman wang haram yang semakin meluas.

“Untuk itu, kami menasihati orang ramai supaya berbelanja mengikut kemampuan dan tidak mendapatkan pinjaman daripada peminjam wang haram,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Negeri, di sini semalam.

Menurut Voon, pengiklanan dan kegiatan pinjaman wang haram dapat dilihat di mana-mana premis perniagaan sah yang biasa, contohnya di Pasar Maong Batu 3, Kuching.

Katanya, dalam lingkungan 500 meter, orang ramai dapat melihat begitu banyak iklan yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang pada tiang lampu dan di sepanjang jalan selain pada pokok-pokok di sekitar pasar tersebut.

Malah, katanya pengedaran kad nama serta risalah mengenai nombor talian peminjam wang turut sering diletakkan pada pintu dan cermin hadapan kereta.

“Kegiatan ini dilakukan secara terbuka setiap hari… apakah yang dilakukan badan penguatkuasaan kita.

“Ia amat membimbangkan kerana publisiti mengenai saluran pinjaman wang yang menyalahi undang-undang ini telah menjejaskan rakyat.

“Amalan ini secara langsung memburukkan lagi punca gejala sosial dalam masyarakat sekarang,” katanya.

Isu tersebut dibangkitkan ekoran kes pembunuhan di Pulau Li Hua di mana seorang bapa yang berhutang keliling pinggang bertindak membunuh isteri dan anak-anaknya, kononnya untuk menamatkan penderitaan mereka akibat hutang.