Keluarga berpendapatan rendah boleh mohon subsidi yuran Taska

0

KUALA LUMPUR: Keluarga yang berpendapatan isi rumah perkapita RM500 dan ke bawah sebulan boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak Taska sebanyak RM250 sebulan bagi setiap anak berusia enam tahun dan ke bawah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Katanya permohonan yang dibuka sejak April tahun ini memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk membiayai kos pengasuhan anak di Taska.

Selain itu, keluarga berpendapatan RM2,000 dan ke bawah sebulan turut diberi subsidi yang sama sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

“Kita beri subsidi ini bagi membantu rakyat yang dibebani dengan isu kos pembiayaan pembantu rumah yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program bersama anak yatim di Sarah Hughes @ Globe, di sini, semalam.

Bagaimanapun, bagi mendapatkan subsidi untuk tahun berikutnya, pemohon perlu memperbaharui permohonan mereka pada setiap tahun.

Mereka yang ingin memohon subsidi itu boleh melayari laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di www.jkm.gov.my dengan memuat turun borang YP1.

Sementara itu, Rohani berkata kerajaan sedang berusaha untuk membantu membina 1,000 lagi Taska yang berdaftar di bawah JKM.

“Kementerian akan memberi sebanyak RM10,000  kepada pengusaha Taska yang lulus permohonannya di bawah JKM,” kata-nya. — Bernama