Kontraktor Melayu Johor kecewa kurang peluang dalam projek mega

0

JOHOR BAHARU: Anggota-anggota Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) semalam melahirkan rasa kecewa ke-rana kurang diberi penyertaan dalam banyak projek mega di negeri ini.

Persatuan itu berasakan anggota-anggotanya hanya menjadi penyeri majlis bila projek-projek berbilion ringgit tersebut dilancarkan dan hanya mampu melihat kerja-kerja kontrak dilaksanakan oleh orang luar.

“Banyak projek mega dilaksanakan di negeri ini khasnya di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia tetapi kita tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya,” dakwa pengerusi PKMMNJ Mahmood Amir.

Bercakap pada sidang akhbar di sini semalam, beliau berkata sekiranya ada sekalipun, kontraktor Melayu hanya akan mendapat kerja yang harganya adalah terlalu kecil.

“Kerja yang diperolehi harganya kecil tetapi baya-ran pula diterima lambat iaitu sehingga tujuh bulan,” katanya.

Hasil perbincangan di kalangan mereka, anggota-anggota PKMMNJ mahukan agar mereka diberi peluang yang lebih baik menyertai projek-projek mega di negeri ini dan bayaran untuk kerja-kerja mereka dibuat dengan lebih cepat.

“Jika bayaran lambat, maka akan menimbulkan masalah kepada kami. Sebagai contohnya dalam pembinaan jalan, kita diberi masa selama dua bulan bagi membuat bayaran untuk batu-batuan yang kita beli daripada pihak kuari sedangkan kita sering lambat menerima bayaran (daripada kerajaan),” katanya.

Mengenai Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang yang bernilai RM60 bilion, beliau berkata PKMMNJ kesal kerana Petronas tidak membuka kerja kontrak untuk kontraktor Melayu Johor.

“Petronas terlalu ‘eksklu-sif’ mengenai projek tersebut sehingga tidak memberikan sebarang maklumat mengenai projek yang boleh disertai oleh kontraktor tempatan.

“Memang benar, kita mungkin tidak mampu me-lakukan kerja yang berkaitan dengan petrokimia yang memerlukan kepakaran yang tinggi namun kita boleh dan mampu melakukan kerja yang berkaitan dengan kemudahan infrastruktur,” katanya.

Petronas sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, di mana perancang-perancang pembangunannya adalah orang Melayu, harus sedar bahawa kontraktor Melayu akan terus ketinggalan sekiranya tiada peluang diberikan kepada mereka.

Sementara itu, beliau berharap PKMMNJ dapat diberikan peluang di dalam pelaksanaan projek Hab Pendidikan Tinggi Pagoh yang mana fasa pertamanya melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Utiliti guna sama seperti kompleks sukan dan perpustakaan akan turut dibina di hub pendidikan tersebut yang boleh menempatkan 10,000 pelajar apabila siap kelak. — Bernama