Gula pasir, petrol dirampas di atas feri penumpang

0

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 888 paket gula pasir dan 180 liter minyak petrol bersubsidi dari sebuah feri penumpang yang baharu berlepas dari Pelabuhan Tawau menuju ke Nunukan, Indonesia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng, berkata kejayaan terbaharu itu dicatatkan anggotanya pada Selasa lepas kira-kira jam 3 petang di kawasan laut Sg Tongkang di sini.

“Jumlah taksiran keseluruhan nilai barangan (gula pasir dan minyak petrol) yang dirampas pada kali ini adalah sekitar RM2,642.80 mengikut harga pasaran semasa,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Keong berkata rampasan itu dibuat selepas empat anggotanya yang melakukan tugasan Operasi Landai menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas feri penumpang terbabit sebelum menemui barangan-barangan berkenaan di ruang bagasi.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu juga tidak ada sebarang pihak yang tampil membuat pengakuan sebagai pemilik barangan terbabit dan seterusnya dirampas dan dibawa ke balai polis untuk laporan.

“Kesemua barangan ini akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi sambil menyatakan kes itu disiasat di bawah Akta Kastam.

Menyentuh mengenai kegiatan penyeludupan keluar-masuk barangan menggunakan feri penumpang di daerah ini yang masih berlaku walaupun PPM Tawau dan pihak berkuasa lain giat menjalankan operasi, beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau perkara terbabit.

Menurutnya, PPM Tawau sentiasa memandang serius dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung sebarang aktiviti penyeludupan barang-barang larangan/bersubsidi yang cuba diseludup keluar/masuk dari/ke negara jiran termasuk pada musim perayaan.