Kemalangan ngeri, 3 rentung

0

NGERI: Keadaan kereta Innova dan lori terbabit yang terbakar dalam kemalangan di kawasan Pais, di Sri Aman semalam.

Wanita hamil antara empat mangsa maut pertembungan MPV dan lori dekat Sri Aman

SRI AMAN: Empat dipercayai warga Indonesia termasuk seorang wanita hamil maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.20 pagi itu, di kawasan selekoh berhampiran Rumah Panjang Pais, MPV jenis Toyota Innova terbabit dikatakan terperosok di bawah lori lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad berkata tiga mangsa rentung apabila MPV dipandu Tinus Salleh, 45, terperosok di bawah bahagian depan lori terbabit.

Tinus dikatakan tercampak dari kenderaan dan kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Wanita hamil bersama dua lagi penumpang belum dikenali identiti mereka. Malah, dua mangsa sukar dicam jantina mereka akibat rentung.

Mat Jusoh berkata, ketika kejadian permukaan jalan basah akibat hujan.

“Lori 10 tan kosong dengan pemandu dari arah Sri Aman menuju Sarikei dilanggar secara berdepan oleh kenderaan MPV Innova dari arah Sarikei menuju Sri Aman.

“MPV dipercayai memasuki laluan bertentangan iaitu laluan lori,” katanya ketika dihubungi.

Manakala sumber lain memberitahu, seorang daripada empat mangsa dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan dan maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Manakala tiga lagi mangsa juga turut terkorban di tempat kejadian setelah terperosok di bawah lori lalu terbakar.

Empat mayat mangsa terbabit dibawa ke bilik mayat Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, pemandu lori bersama dua kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Betong yang diketuai oleh PBKI Tony dan PBKI Tarang bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

Anggota bomba mula memadam api pada jam 10.50 pagi sebelum ia dapat dikawal sepenuhnya pada jam 11.20 pagi.