PAS namakan kontraktor sebagai calon Kuala Besut

0

KUALA BESUT: PAS meng-umumkan Endot@Azlan Yusof, seorang kontraktor kelas A, sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengumumkan perkara itu di sini lewat malam kelmarin berkata Azlan, 48, dipilih kerana beliau memenuhi kriteria yang diperlukan, termasuk merupakan anggota parti yang setia.

Katanya Azlan yang juga bendahari PAS kawasan Besut, atau lebih dikenali sebagai Che Long, dipilih kerana paling disenangi dalam kalangan penduduk tempatan.

Azlan dijangka menghadapi tentangan sengit calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zai-han Che Ku Abd Rahman, 37, yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat).

Azlan, anak jati Kampung Baru di sini yang menyertai PAS sejak 1997 ketika ditemui pemberita kemudian berkata beliau berjanji akan melakukan perubahan di kawasan ini sekiranya diberi peluang.

PRK DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat komplikasi paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 5 Mei lepas, Dr Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. — Bernama