Polis cekup enam lelaki terbabit kes samun

0

KOTA BELUD: Polis menahan enam lelaki tempatan setelah didapati terlibat dengan beberapa kejadian samun di daerah inibaru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Deputi Superitendan Mohan Nadasen berkata kesemua suspek yang berusia 25 hingga 45 tahun itu berjaya dicekup dalam satu serbuan ke sebuah rumah tidak bernombor berhampiran daerah terbabit semalam.

Menurutnya, terdahulu suspek-suspek berkenaan telah melakukan aktiviti samun di sebuah premis makanan yang terletak di jalan Kampung Kiau, dekat sini dengan bersenjatakan parang sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan curi.

“Difahamkan dalam kejadian sekitar jam 11.30 tengah hari itu, lima lelaki termasuk seorang wanita yang bersenjatakan parang telah menyamun sebuah kedai makan berhampiran jalan Kampung Kiau Kota Belud/Tamparuli.

“Dalam kejadian berkenaan, tiga pekerja wanita di situ dipercayai kerugian empat unit telefon bimbit, seutas rantai emas, wang tunai RM100 dan sebuah kamera digital.

“Kita juga difahamkan kesemua suspek yang terlibat telah bertindak melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Proton Saga menuju ke Kota Belud,” katanya.

Menurut Mohan, susulan daripada kejadian itu dan atas maklumat yang diterima daripada orang awam, pihaknya telah berjaya mengesan kenderaan digunakan oleh suspek di sebuah kampung berhampiran Pekan Kota Belud.

Beliau berkata, hasil pemeriskaan awal mendapati ianya merupakan kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Dengan penemuan kenderaan itu, pihak polis telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor dan akhirnya berjaya menahan enam suspek.

“Kita turut menemui semula sebahagian hasil rompakan iaitu dua unit telefon bimbit, sebuah kamera digital dan wang tunai RM100.

“Polis juga percaya dengan penangkapan terhadap suspek-suspek terbabit, kita telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan curi kenderaan di sekitar Kota Belud, Kota Kinabalu dan Penampang,” katanya.

Mohan berkata, kesemua suspek yang ditahan kini sedang direman bagi proses siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.