Wakil SJKT Ladang Batu Kawan kesal tidak dapat jumpa Guan Eng

0

GEORGE TOWN: Wakil Persatuan Ibu Bapa Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Batu Kawan kesal kerana tidak dapat berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menyerahkan memorandum berhubung permohonan tanah tambahan seluas 0.8 hektar untuk sekolah itu.

Pengerusinya A. Govindasamy berkata beliau berasa kesal dan sakit hati kerana tidak dapat berjumpa dengan Ketua Menteri ketika masyarakat India menghadapi masalah dan memerlukan bantuan kerajaan negeri.

“Dulu masa Ketua Menteri nak raih undi, dia (Guan Eng) datang tanpa temu janji. Sekarang kita (masyarakat India) dalam kesusahan dan nak jumpa beliau pun tak dapat.

“Kita rasa kesal dengan sikap Ketua Menteri yang tidak membantu rakyat terutama masyarakat India. Kami tidak mahu terus ditipu lagi,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai perasaannya tidak dapat berjumpa Ketua Menteri tidak kesampaian.

Terdahulu empat wa-kil persatuan itu termasuk Govindasamy dimaklumkan Lim tidak ada di pejabat kerana ada urusan di luar dan dirujuk ke pejabat TimbalaN Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang Dr K. Anbalakan.

“Kami sudah empat tahun tunggu jawapan mengenai permohonan tanah tambahan itu daripada kerajaan negeri tetapi tiada jawapan yang kukuh. Sekolah itu kini ada 130 orang pelajar dan mereka tidak ada kemudahan seperti padang, kantin dan perpustakaan,” katanya.

Anbalakan terus menyampuk dan membidas kenya-taan Govindasamy dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak menipu tetapi mendakwa masyarakat India telah ditipu 55 tahun yang lepas dan keadaan menjadi kecoh berikutan pertikaman lidah itu.

Perang mulut antara mereka berlaku kira-kira 10 minit sebelum wakil sekolah itu diminta untuk menyerahkan memorandum itu ke pejabat Ketua Menteri kerana ia adalah untuk perhatian Ketua Menteri.

Govindasamy menjelaskan permohonan tanah tambahan itu adalah penting untuk menampung keperluan pelajar SRJK (T) Ladang Batu Kawan pada masa depan supaya lebih selesa dan dilengkapi dengan kemudahan asas.

Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap kenyataan Ramasamy dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil yang menyoal pembinaan bangunan baharu sekolah itu oleh kerajaan persekutuan.

“Kenyataan P. Ramasamy salah kerana kerja pembinaan sudah bermula akhir tahun lepas dan sudah selesai lebih 30 peratus sehingga Julai tahun ini,” katanya dan menurutnya Ramasamy sepatutnya turun padang dan melihat sendiri kerja pembinaan itu dan bukannya membuat kenyataan tidak bertanggungjawab. — Bernama