Najib dijangka hadir sambutan 50 tahun kemerdekaan Sabah

0

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini akan diadakan di Taman Prince Philip Tanjung Aru.

Acara penting sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Sabah itu turut dijangka akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Husin berkata demikian ketika meninjau tapak sambutan itu bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Noor, di sini, kelmarin.

“Lebih 80 acara telah disusun sempena Sambutan Perayaan 50 Tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia yang telah diadakan sejak 1 Julai lalu hingga 21 November ini.

“Acara-acara itu akan diadakan secara berperingkat di seluruh negeri dan tumpuan utama sambutan ialah di bandar-bandar utama serta daerah-daerah penuh.

“Ia bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dengan mengimbas kembali erti kemerdekaan terutamanya dalam kalangan generasi Y yang kurang mengenali kesusahan hidup para pemimpin terdahulu dan penduduk negeri sebelum mencapai kemerdekaan,”  katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu.

Menurutnya, kebanyakan rakyat yang lahir selepas kemerdekaan Sabah pada 16 September 1963 kurang mendapat pendedahan mengenai semangat kental patriotisme pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kedaulatan negara.

“Oleh itu, generasi muda yang dianggarkan lebih 70 peratus daripada penduduk negeri ini perlu diberikan penghayatan minda mengenai erti sebenar kemerdekaan,” katanya.

 

Dalam pada itu katanya, sambutan utama perayaan seperti perbarisan Hari Kemerdekaan akan diadakan pada 31 Ogos di Kompleks Sukan Likas.

 

Turut hadir ketika tinjauan, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ujang Sulani, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Michael Emban, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir serta tetamu kehormat yang lain.