Tawfiq kesal projek TAP lewat siap

0

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan merangkap Adun Apas kesal terhadap kelewatan penyiapan projek Perumahan Taman Apas Permai (TAP), Batu 12, Jalan Apas Tawau.

Katanya, projek itu dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Supernesa Sdn Bhd selaku pemaju yang dilantik.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Apas Permai telah memaklumkan kelewatan itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada akhir Jun lalu.

Sehubungan itu, beliau mendesak kepada pihak SPNB dan Supernesa supaya menepati janji mereka untuk menyiapkan perumahan itu dengan kadar segera tanpa berkompromi dengan kualiti pembinaan dan bahan yang digunakan.

Tawfiq juga telah menghubungi pihak SPNB agar bertanggungjawab atas kelewatan penyiapan perumahan itu dan memberi pampasan kepada semua pembeli yang menanggung kerugian.

Katanya, para pembeli telah mula membayar ansuran bulanan rumah terbabit kepada pihak bank sedangkan rumah itu belum siap dan belum dapat mereka duduki lagi.

“Pembayaran pampasan juga harus dilakukan dengan kadar segera sekurang-kurangnya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh pembeli rumah Taman Apas Permai atas kelewatan penyiapan perumahan itu, beliau memahami keresahan mereka serta hak mereka berbuat demikian.

Beliau berkata, pihak SPNB dan Supernesa sewajarnya kerap membuat perjumpaan dengan pembeli untuk memaklumkan perkembangan pembangunan perumahan itu serta permasalahan yang dihadapi.

“Dan pada masa yang sama, mereka perlu mendengar masalah para pembeli yang berhadapan kesukaran akibat kelewetan penyiapan perumahan itu,” katanya.