Kesan negatif dadah semai kesedaran

0

SARIKEI: Pendedahan kesan negatif tentang penyalahgunaan dadah kepada generasi muda melalui pelbagai usaha dan pendekatan akan mampu memberikan kesedaran kepada golongan ini.

Guru Besar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Chien Wong Hing berkata, dalam mencapai matlamat itu, komitmen semua pihak amat diperlukan.

Katanya, usaha memberikan kesedaran kepada generasi muda ini tidak hanya terletak kepada pihak tertentu sahaja tetapi merangkumi tanggungjawab bersama.

“Adalah jelas bahawa kerjasama semua pihak akan lebih membuahkan hasil atau mendatangkan lebih banyak impak positif.

“Kepada para pelajar, kita berharap mereka dapat memperolehi pengetahuan yang bermanfaat hasil daripada penganjuran program seperti ini dan sedar akan bahaya penyalahgunaan dadah yang telah dianggap sebagai musuh nombor satu negara,” kata Wong dalam ucapan penutupan Program Pendidikan Pencegahan Dadah di SJKC Kwang Chien, semalam.

Program itu diadakan di Stadium Tertutup SJKC Kwang Chien dan dihadiri sekitar 250 orang murid sekolah, selain guru dan kakitangan sokongan sekolah.

Wong turut menasihati murid-murid agar mengambil berat tentang pengetahuan yang diperolehi oleh mereka pada program semalam.

“Masalah penyalahgunaan dadah dewasa ini kian meruncing. Maka itu, pihak kita akan berusaha untuk terus memberikan kesedaran kepada pelajar kerana golongan ini amat mudah dipengaruhi sesetengah pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan daripada penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

Pada program itu, murid sekolah terbabit mendengar ceramah khas oleh penceramah jemputan yang juga merupakan pegawai polis dari Bahagian Narkotik Sarjan Mohd Allas dan dibantu oleh Sarjan Lee Ah Kun.

Selain sesi ceramah, turut diadakan pameran antidadah.