Site Last Updated 9:47 am, Tuesday

Pendekatan baharu bentuk pelajar cergas, cerdas

by Agnes Tugong. Posted on July 13, 2013, Saturday

KUCHING: Pengajaran dan pembelajaran melalui permainan merupakan kaedah jangka panjang dalam usaha melahirkan golongan pelajar yang cergas dan cerdas.

Kaedah ini bagaimanapun masih baharu diperkenalkan di Malaysia dan mulai diguna pakai pada tahun 2010 dalam Kokurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kaedah berdasarkan pengajaran permainan untuk pemahaman (TGfU) itu bermula di England pada tahun 1982.

Kaedah yang sama kemudiannya diguna pakai di Australia pada tahun 1990-an menggunakan Model GameSense dalam kejohanan atau latihan disusuli beberapa buah negara lain termasuk Singapura.

“Bagi kita di Malaysia, TGfU merupakan sesuatu yang masih baharu, mula diperkenalkan pada tahun 2010 untuk diguna pakai dalam KSSR yang bersifat lebih inovasi.

“Jika kita menghayati TGfU, ia merupakan kaedah jangka panjang untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja cergas malah cerdas dari segi fikiran dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kunjungan wakil Persatuan Perkembangan Profesiona-lisme Pendidikan Sarawak (PROFES) dan Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Batu Lintang di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Kunjungan tersebut adalah bagi membincangkan cada-ngan penganjuran Persida-ngan Antarabangsa Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Melalui Permainan 2013 (iCOTLTG2013) anjuran bersama PROFES dan IPGK Batu Lintang.

Persidangan tersebut dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober depan dengan sasaran 300 peserta dari kalangan guru-guru pelatih dan dalam perkhidmatan, pensyarah, para pelatih serta agensi-agensi sukan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, persidangan itu akan memberi penekanan kepada acara bengkel serta sedikit pembentangan kertas kerja yang akan dikendalikan oleh fasilitator dan penceramah antarabangsa dan kebangsaan.

Yuran penyertaan bagi peserta antarabanga ialah RM1,200 seorang, manakala peserta tempatan akan dikenakan yuran RM1,000 seorang.

PROFES sebagai tonggak utama iCOTLTG2013, manakala IPGK Batu Lintang menyalurkan kepakaran reka bentuk pengisian persidangan dan penilaian kertas pembentangan.

Hadir pada kunjungan tersebut, Pengerusi PROFES Dr Zulwali Kifli Merawi, Pengarah IPGK Batu Lintang Awang Hambali Awang Hamdan serta yang lain.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.