Thursday, September 23

Safee kecewa gagal bantu Malaysia hadapi Chonburi

0

PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali kecewa kerana kecederaan pada pangkal paha kirinya yang belum pulih menafikannya untuk membantu pasukan negara pada perlawanan persahabatan menentang Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan (16 Julai).

Penggempur Johor Darul Takzim (JDT) itu berkata, kecederaan yang dialaminya ketika JDT menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun lalu itu belum pulih sepenuhnya.

“Kecewa ada… geram pun ada kerana kemungkinan besar saya tidak dapat bersama- sama rakan sepasukan Selasa ini.

Lagi pun, lama saya tidak beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Beliau ditemui Bernama pada sesi latihan pusat pertama skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini malam kelmarin.

Bekas pemain pasukan Pelita Jaya, Indonesia itu, bagaimanapun berharap akan diturunkan pada perlawanan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC di Stadium Shah Alam pada 21 Julai, bagi menebus kekecewaannya itu.

“Saya harap dapat segera pulih sepenuhnya daripada kecederaan untuk membantu pasukan negara menentang Chelsea nanti,” katanya.

Selain Safee, seorang lagi pemain JDT, Safiq Rahim terpaksa menjalani latihan berasingan pada hari pertama latihan pusat pasukan kebangsaan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Mengenai latihan hari pertama Harimau Malaya yang bermula semalam, Safee berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana sebagai pemain profesional, mereka sudah biasa menjalani latihan dalam keadaan berpuasa. — Bernama‘