Saingan Malaysia-Chonburi penting sebelum berdepan Chelsea

0

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Datuk K.  Rajagobal menyifatkan aksi persahabatan menentang kelab dari Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan (16 Julai) penting sebagai persiapan berdepan Chelsea FC pada 21 Julai ini.

Beliau berkata dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaan Thailand,pertemuan menentang Chonburi FC dapat meningkatkan keyakinan pemain negara sebelum berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu di Stadium Shah Alam.

“Perlawanan menentang Chonburi FC, satu perlawanan pemanas badan yang baik kepada pasukan kita kerana mereka (Chonburi FC) sebuah pasukan yang kuat dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaan Thailand,” katanya ditemui Bernama selepas sesi latihan pusat pertama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, malam kelmarin.

Rajagobal percaya anak buahnya tidak berdepan masalah untuk menjalani latihan dan beraksi menentang Chonburi FC dan Chelsea FC walaupun kedua-dua perlawanan itu berlangsung pada bulan Ramadan.

“Mereka semua pemain profesional dan ia bukan masalah kerana mereka sudah biasa dengan keadaan itu,” kata ketua jurulatih pasukan kebangsaan berkenaan.

Rajagobal berkata kesemua pemain akan menjalani latihan seperti biasa kecuali Safiq Rahim dan Mohd Safee Mohd Sali yang terpaksa berlatih secara berasingan kerana masih mengalami kecederaan.

Beliau bagaimanapun berkata kecederaan yang dialami Safiq di bahagian kaki serta Mohd Safee pada bahagian pangkal paha kiri, tidak serius dan mereka boleh melakukan latihan ringan.

Pada sesi latihan pertama semalam, 27 pemain melapor diri kecuali Mohd Badhri Radzi (Kelantan) dan Azzamuddin Akil (Pahang) yang mengalami kecederaan manakala seorang lagi pemain Kelantan, Mohd Nor Farhan Muhammad (Kelantan) mendapat pelepasan kerana menyambut kelahiran anak pertama.

Rajagobal berkata Mohd Badhri dan Mohd Nor Farhan akan melapor diri semalam, manakala Azzamuddin tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan kerana masih dibelenggu kecederaan pada bahagian tangan dan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Mengenai latihan di Jepun yang dijadual bermula 23 Julai, Rajagobal berkata latihan di negara Matahari Terbit itu adalah pendedahan terbaik kepada skuad bimbingannya kerana mereka bukan sekadar berlatih di sana, tetapi diuji dengan beberapa perlawanan menentang pasukan yang beraksi dalam Liga Jepun (J-League).

“Beberapa perlawanan persahabatan di Jepun dapat memberi pendedahan terbaik kepada pemain sebelum berdepan (kelab gergasi bola sepak Sepanyol), Barcelona FC pada 10 Ogos (di Stadium Nasional Bukit Jalil),” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang dua kelab divisyen satu Liga Jepun iaitu Shimizu S.

Pulse dan Shonan Bellmare, masing-masing pada 25 Julai dan 27 Julai serta kelab divisyen dua Liga Jepun, Tokyo Verda pada 31 Julai.  — Bernama