Beri perincian sasaran tanaman sawit

0

KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi perlu memberikan angka terperinci sasaran bagi minyak sawit ditanam di Sarawak yang dikatakan tercapai dari tempoh awal tahun sehingga Julai.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Chong Chieng Jen berkata, alasan pembekuan pemberian bekalan anak benih kelapa sawit kepada golongan pekebun kecil di Sarawak kerana telah mencapai sasaran, tidak dapat diterima.

Katanya, alasan itu tidak munasabah kerana setakat Disember 2012, jumlah keluasan tanah yang ditanam kelapa sawit di Sarawak adalah 1,076,238 hektar berbanding Semenanjung Malaysia (2,558,103) dan Sabah (1,442,588).

“Jika dibandingkan saiz Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah, negeri ini mempunyai kawasan lebih besar, jadi bagaimana pihak berkuasa boleh mengatakan sasaran telah dicapai?” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, semalam.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi alasan dalam laman web bahawa anak benih tidak lagi disediakan kerana telah mencapai sasaran.

Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil juga hanya terbuka kepada Sabah dan Semenanjung Malaysia, kata Chong.
Menurut beliau, persoalan itu pernah diajukan kepada Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Douglas Uggah Embas ketika berjumpa di lobi Dewan Rakyat tempoh hari.

Bagaimanapun, Chong mendakwa alasan yang diberi adalah: “Mereka tidak mahu kaum Dayak menanam di atas tanah kerajaan negeri.”

“Adakah ini satu kes kerajaan negeri memberikan layanan istimewa kepada syarikat-syarikat tertentu atas kepentingan rakyat biasa di kawasan luar bandar?

“Dasar baharu MPOB ini telah mengurangkan peluang pendapatan penduduk luar bandar apabila bekalan benih dibekukan,” kata Chong.