Koridor Eastwood menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa

0

MIRI: Lebih 70 hidangan enak boleh dinikmati untuk berbuka puasa di gerai-gerai yang disediakan khas di koridor muzikal Eastwood Valley Golf and Country Club sehingga 4 Ogos depan.

Hidangan yang disediakan merangkumi menu tempatan, tradisional dan cita rasa antarabangsa.

Sebagai pembuka selera, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis salad, ulam, kerabu dan pilihan umai iaitu umai sotong dan umai udang, sambal belacan, sambal mangga, cincaluk, tempoyak tumis dan sambal petis.

Pelanggan juga boleh mengunjungi gerai makanan Jepun yang menyediakan hidangan popular negara berkenaan iaitu sushi dan tempura.

Sate, sayap ayam, kambing, lembu, ikan dan sotong panggang boleh diperolehi dari gerai panggang dan barbikiu.

Selain itu, gerai-gerai menggoreng pula menyediakan hidangan seperti lobak, taugeh goreng dan kuih yang disaji bersama dengan sos cili yang sedap.

Sebanyak 16 hidangan utama disediakan setiap hari sebagai mempelbagaikan pilihan pelanggan.

Antaranya, daging masak kicap, kari kambing, udang masak cili, sotong masak tumis dengan sos sate, ayam kurma, ikan kukus bersama sos tom yam dan tauhu tumis dimasak bersama cendawan.

Pilihan lain ialah bubur pedas dan laksa Sarawak.

Resipi istimewa Eastwood, kambing goreng madu yang ditabur dengan bijan dan kebab kambing turut boleh dinikmati.

Hidangan tidak akan lengkap tanpa pencuci mulut.

Pihak Eastwood menyediakan pelbagai jenis puding, agaragar, kuih-muih, kek dan buah-buahan.

Gerai minuman pula menyediakan air barli selasih, air cincau, ais kacang, air bandung selasih, air kacang soya, jus buah campuran serta minuman panas seperti teh tarik dan nescafe tarik.

Bayaran RM38 dikenakan untuk pelanggan dewasa, sementara RM22 untuk kanakkanak.

Untuk setiap pembayaran berjumlah melebihi RM200, pelanggan akan menerima baucar RM10 untuk kunjungan seterusnya.

Potongan 10 peratus diberikan kepada ahli-ahli Eastwood Privilege Card (EPC).

Untuk tempahan meja sila hubungi talian 085-421010 sambungan 811.

Petang kelmarin, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang dijemput hadir untuk merasmikan promosi berkenaan.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Woodman, Dato Sri Law Kiu Kiong, Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Woodman, Kueh Chie Tiong dan Timbalan Datuk Bandar, Mohd Chee Kadir.