Loket radioaktif memudarat kesihatan, penyebab kanser: Dr Subramaniam

0

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihat agar tidak membeli dan menggunakan loket yang diperbuat daripada abu gunung berapi dan mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) kerana ia memudaratkan kesihatan dan boleh menyebabkan kanser.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, loket itu mengandungi NORM Uranium-238 serta Thorium-232, dan pemakaian berterusan selain dos sinaran berlebihan akan memberi kesan bahaya khususnya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu menyusu.

Beliau berkata, laporan analisis pengujian ke atas sampel loket (Quantum Pendant, Fusion Excel) yang dijalankan Makmal Standard Dosimetri Sekunder (SSDL)di Agensi Nuklear Malaysia mendapati kepekatan keaktifan bagi bahan radioaktif semula jadi Thorium-232 dan Uranium-238 adalah melebihi had yang dibenarkan.

“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak membeli dan menggunakan loket radioaktif ini kerana penggunaannya tidak memberi sebarang faedah perubatan.

“Kajian juga mendapati ia akan memberi kesan risiko kesihatan seperti kanser atau kesan genetik kepada pemakainya,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) bagi menjalinkerjasama melarang penjualan loket radioaktif di negara ini pada masa akan datang.

Beliau berkata buat masa ini, tiada kawalan khususnya daripada mana-mana pihak berkuasa ke atas penjualan dan penggunaannya.

“Penguatkuasaan terhadap loket ini tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan kerana ia tidak diklasifikasi sebagai peranti perubatan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

“Ia hanya bertindak sebagai aksesori tenaga atau tenaga peranti generasi semula jadi. Maka pengawalan loket ini adalah di bawah bidang kuasa LPTA,” katanya.

Loket itu dibentuk melalui kaedah pemampatan abu ke dalam bentuk pepejal dan ia diedar oleh beberapa syarikat jualan langsung dan berada di pasaran Malaysiasekitar 2009.

Pembekal dan penjual loket mendakwa ia dapat mempertingkat tahap kesihatan kepada pemakai seperti melancarkan peredaran darah dalam badan, tenaga dan daya ingatan. — Bernama