Pelaksanaan SEIA Empangan Baram mesra, telus

0

DENGAR MASALAH: Dennis (dua kiri) dalam satu perjumpaan bersama penduduk di Telang Usan
sehingga kini belum pernah ada yang merungut mengenai sebarang ugutan dan ancaman SEIA Empangan Baram.

MIRI: Tiada sebarang unsur paksaan serta ancaman dalam pelaksanaan Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar (SEIA) untuk projek cadangan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baram (Empangan Baram).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau menjelaskan bahawa hal berkenaan dijayakan oleh golongan profesional.

“Setahu saya, para perunding yang menjalankan SEIA untuk cadangan Empangan Baram menggunakan kaedah paling mesra dan survei dilakukan kebanyakannya oleh orang-orang tempatan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respons mengenai dakwaan dua orang ketua masyarakat kawasan Baram bahawa terdapat 25 perkampungan yang terlibat dengan projek itu telah diugut dan diancam oleh pihak terlibat dengan SEIA Empangan Baram.

Baru-baru ini, Pengerusi Persatuan Orang Ulu Kebangsaan Bahagian Miri, Peter Kallang dan juga seorang bekas kaunselor Anthony Lawai mendedahkan bahawa menerima aduan daripada penduduk Baram bahawa ada pihak luar yang memasuki perkampungan mereka untuk memaksa persetujuan secara bertanda tangan mengenai projek tersebut.

“Sepanjang saya bekerja dan membuat lawatan di Telang Usan, saya tidak pernah didekati atau menerima aduan daripada penduduk mengenai taktik kotor seperti ini,” katanya.

Beliau sebagai wakil rakyat, ingin sekali mendengar sendiri daripada penduduk kawasannya jika ada sesuatu yang tidak kena atau sesuatu yang boleh menimbulkan rasa takut di kalangan mereka.

Katanya, pihak penasihat bebas yang dilantik oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk mengendalikan survey memberitahu bahawa penduduk yang enggan ditemu bual tidak akan dipaksa berbuat demikian.

Menjelaskan lebih lanjut, Dennis berkata sebenarnya tiada tandatangan diperlukan daripada borang survei dan hanya menggunakan pensil bukannya dengan pen berdakwat seperti yang didakwa.

“Saya sedih ada pihak yang cuba menakut-nakutkan penduduk dalam cubaan supaya mereka tidak akan menyokong program pembangunan dirancang kerajaan,” katanya dengan nada kesal.

Untuk mengesahkan ketiadaan perkara berkaitan ugutan dan paksaan itu, Dennis turut membuat beberapa panggilan kepada ketua-ketua masyarakat tempatan.

Antaranya ialah Penghulu Paul Kalang iaitu salah seorang pemimpin masyarakat dari Long San yang mengatakan tiada sebarang unsur paksaan dan ugutan dalam pelaksanaan survei itu.

“Dia (Paul) turut mengingatkan kepada pihak yang menentang projek untuk tidak menghalang proses SEIA,” kata Dennis.

“Paul turut memberitahu bahawa ramai penduduk kawasan Baram yang mahu projek dilaksanakan kerana berasa bakal membawa kepesatan sosioekonomi di situ,” katanya.