PPR baharu guna teknologi Sistem Binaan Berindustri

0

KUALA BESUT: Semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di seluruh negara pada masa depan akan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang lebih menjimatkan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan berkata, teknologi IBS iaitu IRIS KOTO dari Jepun itu bukan sahaja jimat dari segi masa dan kos, malah lebih berkualiti.

Beliau berkata, pembinaan seunit rumah PPR melalui teknologi IBS berharga antara RM100,000 hingga RM120,000 berbanding tanpa IBS iaitu sekitar RM150,000 hingga RM160,000, bergantung pada lokasi.

“Pembinaan rumah PPR kini menjangkau 80,000 unit. Selepas ini, kita akan mengguna pakai kaedah ini bagi memenuhi sasaran pembinaan 200,000 unit rumah setahun, sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN),” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk sebuah keluarga mangsa kebakaran yang akan dibina Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu menggunakan teknologi IBS, di Kampung Pok Kolok, Kampung Nail di sini semalam.

IBS, yang juga dikenali sebagai ‘pembinaan pemasangan menyeluruh’ berikutan komponen binaan dibuat di kilang atau di tapak projek, sebelum diangkut dan dipasang menjadi struktur bangunan yang lebih sistematik.

Abdul Rahman berkata teknologi ini, mendatangkan banyak faedah antara pengurangan pekerja, kurang pembaziran bahan binaan, alam sekitar dan tapak binaan lebih bersih serta tapak pembinaan lebih teratur.

“Apabila kos dikurangkan, peruntukan kementerian dapat digunakan untuk membina lebih banyak unit rumah untuk rakyat,” katanya. — Bernama