Riot saran lebih banyak pihak tampil mohon peruntukan MRP

0

KUCHING: Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot menggesa lebih banyak kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan tampil memohon peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebelum 30 Oktober ini.

Beliau berkata demikian ekoran peruntukan sebanyak RM3 juta telah diberikan kepada kementeriannya untuk tujuan terbabit.

“Setelah menyerahkan sebanyak lebih kurang RM700,000 semalam kepada 77 kelab, persatuan dan persatuan bukan kerajaan, masih terdapat baki sebanyak RM2,300,000.

“Gunakan duit geran yang telah diberikan untuk melaksanakan aktiviti dalam persatuan, kelab dan sebagainya.

“Saya juga mahu mana-mana persatuan dan kelab yang belum berbuat demikian, sila menghantar permohonan ke pejabat saya dengan segera kerana ia perlu digunakan sepenuhnya secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP Siri 3 di Serian dekat sini semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Serian (MDS) Hilda Mayor ketika ditemui semalam menyatakan rasa bersyukur pihaknya atas kelulusan cek MRP berjumlah RM20,000 yang diberikan kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Serian.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PPWS Serian berkata, jumlah itu agak terhad untuk menjaga 39 cawangan kecil PPWS dengan keahlian seramai 2,800 orang.

“Tetapi kami ada mengadakan makan malam dan jualan amal bagi menambah tabungan untuk melaksanakan program serta aktiviti berkaitan wanita di sini,” katanya.

Sementara itu, Riot yang juga Ahli Parlimen Serian meluahkan rasa sedih dan terkilan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Menurutnya, beliau terkilan kerana penyokong di kawasan bandar Serian menyokong pembangkang (DAP) sedangkan mereka tidak pernah menyumbang apa-apa kepada pembangunan dan komuniti Serian.