Tiada guna debat pasal isu lapuk

0

KUCHING: Projek pembinaan masjid baharu Kampung Muara Tebas yang dirancang sejak tahun 2005 dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelewatan masjid itu dilaksanakan berpunca daripada timbul beberapa masalah termasuk tapak projek.

Malah, menurutnya, pada mulanya masjid baharu itu dirancang untuk dibina secara terapung namun disebabkan kos terlalu tinggi, maka ia tidak dapat dilaksanakan.

Tambahnya, pada 2007 peruntukan berjumlah RM1.8 juta diluluskan untuk membina masjid di atas tanah seluas 70 point.

“Rancangan untuk membina masjid ini sudah bermula dari tahun 2005. Pada ketika itu, orang kampung mencadangkan beberapa tapak untuk pembinaannya termasuk pembinaan secara terapung.

“Namun akhirnya berdasarkan keputusan bersama penduduk kampung, kita membeli tanah yang terletak di belakang sekolah untuk pembinaannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek masjid baharu Kampung Muara Tebas semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhannya masjid tersebut dapat menampung sekitar 1,000 jemaah termasuk di ruang luar dan dalaman.

“Masjid setingkat ini amat cantik dan menjadi mercu tanda penduduk Muara Tebas,” ujarnya.

Menurut Wan Junaidi, beliau akan memohon dana tambahan bagi digunakan untuk pembinaan pagar masjid bagi mengelak dimasuki binatang.

“Saya akan memohon dengan kerajaan pusat untuk membolehkan dana tambahan bagi pembinaan pagar masjid,” jelasnya.