Tindakan segelintir penduduk gemar longgok sampah dikesali

0

DIDIK DARI KECIL: Abdul Wahap (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada seorang kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Program Bubur Lambuk di Pusat Komuniti Kampung Tunku, Kuching semalam.

KUCHING: Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai kesal dengan tindakan segelintir penduduk yang melonggokkan sampah dan barangan terpakai di sekitar kawasan kediaman.

Berucap pada Majlis Pelancaran Program Bubur Lambuk di Pusat Komuniti Kampung Tunku di sini semalam, Abdul Wahap mengingatkan penduduk supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga kawasan persekitaran masing-masing.

Katanya, jika sikap lepas tangan seperti ini tidak diubah dan diteruskan oleh penduduk, usaha DBKU untuk menjadikan bandar raya ini sebagai sebuah bandaraya yang cantik, bersih dan hijau tidak mungkin akan dapat direalisasikan.

“Ingin saya ingatkan di sini bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran terutama di kawasan kediaman bukan terletak di atas bahu DBKU sahaja.

“Masyarakat setempat juga harus memainkan peranan yang sama kerana jika tidak segala usaha yang telah dirancang oleh DBKU selama ini hanya sia-sia sahaja.

“Justeru, pada bulan yang mulia ini, iaitu bulan Ramadan saya ingin mengajak anda semua untuk sama-sama membersihkan persekitaran dan tidak melonggakkan sampah atau barangan terpakai sesuka hati,” katanya.

Tambah Datuk Bandar, 60 peratus daripada barangan terpakai yang dibuang oleh penduduk seperti perabot rumah, pakaian dan sebagainya masih boleh digunakan untuk satu tempoh jangka masa.

Justeru, beliau mengsyorkan kepada penduduk supaya tidak membuang barangan terpakai mereka dengan sewenang-wenangnya sebaliknya berbincang terlebih dahulu dalam komuniti masing-masing untuk disumbangkan kepada pihak-pihak yang memerlukan buat sementara.

Abdul Wahap turut membangkitkan laporan dalam akhbar Utusan Borneo baru-baru ini mengenai tindakan segelintir penduduk yang melonggokkan sampah di kawasan lapang di Kampung Tunku.

Beliau yang kecewa dengan perbuatan itu berharap agar penduduk tidak mengulangi perbuatan tersebut dan mengambil inisiatif untuk membersihkan kawasan yang berkenaan terutama menjelang Hari Raya kelak.

Mengulas mengenai program itu, ia merupakan aktiviti tahunan DBKU setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Berpadanan dengan konsep Kejiranan Mesra, projek ini telah dirangka bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat.

Sebagai pembuka tirai, DBKU telah memilik Pusat Komuniti Kampung Tunku sebagai lokasi pertama projek kali ini dan akan diteruskan ke beberapa lokasi Kejiranan Mesra lain di sekitar Kuching Utara.

Dalam pada itu, lebih daripada 3,000 peket bubur lambuk diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan itu semalam selain penyampaian sumbangan khas Ramadan kepada 50 penerima terdiri daripada warga emas dan golongan kurang berkemampuan.

Bagi menjayakan projek ini, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah menyumbang satu tan beras, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menaja topi chef, gas memasak dan sepanduk, manakala Malaysia Building Society Berhad (MBSB) menyumbang wang tunai RM11,500 dan Nestle menaja kios, bekas makanan plastik, kain rentang, ‘fishtail’ dan perasa Cukup Rasa.