Polis banteras judi atas talian di Limbang

0

BUKHORI

17 pelanggan termasuk empat wanita dicekup ketika asyik bermain judi atas talian

LIMBANG: Keasyikan 17 pelanggan termasuk empat wanita bermain judi atas talian tidak berpanjangan, apabila dicekup sepasukan polis dalam serbuan Ops Dadu Mesin Judi di empat lokasi berasingan di sini pagi kelmarin (Ahad).

Dalam serbuan yang dijalankan pada jam 9.10 pagi itu, polis turut merampas 30 set komputer yang dipercayai mengandungi perisian judi atas talian serta wang tunai berjumlah RM1,878.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai menjelaskan bahawa operasi dijalankan bersama sepasukan polis melibatkan dua pegawai dan 13 anggota daripada Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Limbang.

“Hasil serbuan yang dijalankan polis menahan empat wanita dan 13 lelaki yang dipercayai penjaga premis dan pelanggan premis terbabit.

“Turut dirampas ialah 30 set komputer yang digunakan untuk tujuan perjudian komputer dan wang tunai RM1,878,” katanya di sini semalam.

Mohd Bukhori berkata, kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke IPD Limbang untuk siasatan lanjut.

Katanya serbuan pertama dilakukan di empat premis di Bangunan Bangkita dengan menahan seorang wanita dan dua lelaki.

Dalam serbuan itu, polis merampas sembilan set komputer dan wang tunai RM515.

“Dalam serbuan yang dijalankan di Jalan Wong Tsap En, kami menahan dua wanita dan lima lelaki serta merampas tujuh set komputer dan wang RM672,” ujarnya.

Serbuan turut dilakukan di Jalan Bank, di sini dengan menahan lima lelaki serta lima set komputer dan wang RM533.

“Manakala dalam operasi di tingkat 1, Bangunan Bangkita pula seorang wanita dan dua lelaki ditahan dan polis berjaya merampas sembilan set komputer dan wang RM158,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953.