Sebanyak 20 gerai bazar Ramadan diambil sampel makanan

0

KOTA KINABALU: Kira-kira 20 buah gerai di bazar Ramadan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu telah diambil sampel makanan dan minuman berikutan kegagalan peniaga menjaga kebersihan persekitaran gerai.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), James Philip Suladi berkata antara gerai yang telah dikenalpasti gagal menjaga kebersihatan dan cara pengendalian makanan yang tidak bersih adalah yang terletak di Pasar Tani Asia City dan Bazar Ramadan Lintasan Deasoka.

Walau bagaimanapun, belum ada sebarang denda yang dikenakan ke atas peniaga kerana keputusan ujian sampel makanan dan minuman yang diambil itu hanya akan diketahui selepas dua minggu.

“Sampel makanan dan minuman itu akan dihantar ke makmal untuk diuji dan keputusannya hanya akan diperoleh selepas dua minggu untuk mengetahui tahap kebersihan makanan dan minuman yang dijual,” katanya ketika dihubungi, di sini kelmarin.

Jumlah gerai yang diambil sampel itu direkodkan setakat hari keenam Ramadan, katanya.

Beliau berkata, jika didapati makanan dan minuman yang dijual di bazar Ramadan itu tidak bersih dan tidak selamat untuk dimakan oleh orang ramai, maka tindakan akan dikenakan.

“Jika didapati makanan mahupun minuman yang dijual tidak bersih, peniaga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 (B) Akta Makanan 1983 dengan denda maksimum RM 20,000,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata pemantauan secara berperingkat juga akan dijalankan di 11 lokasi bazar sekitar bandaraya untuk memastikan peniaga sentiasa mengambil berat soal kebersihan.

Pemantuan itu dijalankan dengan kerjasama JKNS dan Jabatan Kebersihan dan Kesihatan Persekitaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).