Edar dadah: Hukuman mati ke atas tiga ‘keldai dadah’ kekal

0

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga ‘keldai dadah’ kerana mengedar lebih 500gm heroin yang mereka sembunyikan di dalam kapsul getah dan kemudian menelannya.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan Kwok Weng Fatt, 64, Abdul Rahman Lee Abdullah, 56, dan Nurul Jannah Seng Abdullah, 49, dan mengesahkan sabitan dan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi.

“Berdasarkan fakta dan keadaan semasa kes, kami berpendapat hakim perbicaraan telahpun membuat keputusan yang betul bahawa ketiga-tiga mereka tahu tentang dadah itu,” katanya.

Azahar berkata, inti pati cerita mereka dalam kenyataan beramaran dan dalam keterangan di mahkamah turut diberi pertimbangan oleh hakim perbicaraan.

“Tiada kekhilafan boleh dirayu yang dibuat oleh hakim perbicaraan dalam kes ini,” kata Azahar yang bersidang dalam panel itu bersama-sama Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Kwok dan Abdul Rahman didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di George Town, Pulau Pinang pada 26 Sept, 2011 masing-masing terhadap satu pertuduhan mengedar dadah manakala Nurul Jannah pula disabitkan dengan dua pertuduhan. — Bernama