Rompak: Dua rakan dipenjara enam tahun dan empat sebatan

0

PETALING JAYA: Dua rakan masing-masing dipenjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam  kerana merompak secara berkumpulan dan melarikan seorang tukang cuci wanita warga Indonesia pada Mac lepas.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap V.K. Krishnan, 21, dan R. Ritchie Annatah Babu, 22, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan merompak dan melarikan wanita itu.

Abu Bakar memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu Krishan pada 13 Mac lepas manakala Ritchie pada 20 Mac lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Abu Bakar berkata walaupun tertuduh masih muda, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan mangsa daripada kepentingan tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Saya harap hukuman ini menjadi pengajaran kepada tertuduh dan selepas menjalani hukuman, jadilah orang yang baik. Hukuman ini bukan untuk menyusahkan kamu tetapi supaya kamu boleh berubah,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan terhadap Krishnan dan Ritchie kerana merompak Sutipa, 35, dengan mengambil pasportnya, telefon bimbit, kad LRT dan wang tunai RM70 di Jalan SS25/32 di sini pada jam 7 malam 13 Mac lepas.

Mereka yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kelindan lori didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mereka juga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan melarikan Sutipa dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah pada tempat, masa dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Ritchie kerana gagal menunjukkan kad pengenalan di Jalan PJU1A/41 di sini pada 8.30 malam 20 Mac lepas dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. — Bernama