Tuesday, November 24

Kerajaan sedia pertimbang hapus guna dakwat kekal

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menghapuskan penggunaan dakwat kekal dan menukar kepada sistem biometrik semasa pilihan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata cadangan untuk menggunakan dakwat kekal adalah daripada pembangkang dan dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang kemudian pelaksanaannya mendapat pertikaian pihak pembangkang sendiri.

“Yang cadang guna dakwat kekal Yang Berhormat Ahli Parlimen Gombak (Mohamed Azmin Ali) dalam jawatankuasa (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya), yang cadang dakwat ini mereka, kita ni ikut, padahal SPR mencadangkan biometrik supaya (guna) cap jari (supaya) tak boleh lari.

“Itu (biometrik) cada-ngan yang terbaik, kita akan pastikan supaya perkara ini dibincang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) ketika mencadangkan penghapusan penggunaan dakwat kekal berkata isu dan polemik dakwat kekal itu berpanjangan berikutan pihak yang tidak menang dalam pilihan raya terpaksa mencari sesuatu alasan tentang kekalahan mereka.

Mengenai sistem biometrik, Annuar berkata Malaysia mempunyai sistem pendaftaran komprehensif ber-asaskan kad pengenalan yang mempunyai kawalan begitu ketat dan kemas.

“Kita sudah ada sistem yang cukup bagus tetapi kita melayani dengan soal dakwat, bila kita buat dakwat kekal, ada orang timbulkan pula termasuk berasa was-was air sembahyang sah atau tidak.

“Jika sistem biometrik itu sebagai satu alternatif, adakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan sama sekali sistem menggunakan dakwat kekal berikutan banyak negara tidak menggunakan sistem calit di jari pada masa ini,” katanya. — Bernama