JPPM diharap putuskan segera nasib SUPP agar perjuangan dapat diteruskan

0

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memutuskan segera nasib parti itu supaya perjuangan parti dapat diteruskan, kata Setiausaha Agungnya Dr Sim Kui Hian.

“Sama ada SUPP akan dibatalkan pernubuhannya atau tidak… parti hanya mahukan jawapan balas daripada JPPM pada kadar segera kerana kami mahu meneruskan perjuangan dan memastikan kesinambungan parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP di sini semalam.

Menurutnya SUPP telah menghantar surat balas menjelaskan bahawa parti itu tidak boleh dibatalkan penubuhannya kepada JPPM pada 28 Jun selepas menerima surat tunjuk sebab daripada jabatan itu pada 6 Jun 2013.

Beliau memberitahu parti itu hanya perlu mengemuka-kan surat tunjuk sebab untuk dua cawangan parti iaitu Bekenu dan Piasau kerana didakwa tidak mematuhi perlembagaan parti semasa Persidangan Tiga Tahun Sekali (TDC) pada Disember 2011.

Selain itu aduan sama di-terima melibatkan 14 cawa-ngan SUPP iaitu Kuching, Pending, Padungan, Sri Aman, Sarikei, Bintangor, Repok, Sibu, Kanowit, Bintulu, Bekenu, Piasau, Julau dan Song.

Persidangan itu dikatakan telah dicemari oleh tindakan tidak mematuhi perlemba-gaan parti yang mewujudkan dua kumpulan tidak sehaluan, pertama diketuai Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh dan kumpulan satu lagi diketuai Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin.

Ditanya sama ada Jawatankuasa Disiplin (DC) parti akan mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Wong ekoran tindakannya itu, Dr Sim memberitahu bahawa beliau masih belum menerima kata putus berhubung perkara tersebut.

Beliau menjelaskan, keputusan DC akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk tindakan selanjutnya.

Setiausaha DC Matthew Chen yang turut hadir pada sidang media itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu apabila diajukan soalan sama.

“Apabila tiba masanya nanti, anda semua akan tahu sama ada notis tunjuk sebab akan dikeluarkan atau sebaliknya (kepada Wong),” tegas beliau sambil menambah perkara itu terlalu ‘sulit’ dan hanya akan didedahkan bila tiba masanya.